Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengkaji program berasaskan komuniti sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan imigresen, kata menterinya Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, KDN bersedia meneroka pilihan tersebut sebagai perancangan masa hadapan dalam mengendalikan kes imigresen melibatkan kanak-kanak.
"Plan ke hadapan, KDN juga bersedia ke arah meneroka pendekatan Alternative To Detention dan sekarang sedang berbincang dengan badan-badan antarabangsa dan negara-negara yang ada pengalaman menjalankan kaedah ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Saifuddin mengulas gesaan kumpulan masyarakat sivil supaya kerajaan membebaskan semua kanak-kanak yang masih ditahan di depoh dan kemudahan imigresen di seluruh negara.
Ini termasuk mereka yang telah dipindahkan ke pusat Baitul Mahabbah yang ditubuhkan KDN untuk menempatkan kanak-kanak bawah umur 10 tahun yang dikritik oleh End Detention Network (EDN) sebagai satu lagi bentuk penahanan.
Menurut menteri itu, kementerian itu akan melawat ke Thailand bagi mempelajari pendekatan alternatif itu.
"Kami akan melawat dan belajar dari Thailand yang sudah melaksanakan.
"KDN akan mengambil best practices dari beberapa negeri lagi, berikutnya KDN akan menetapkan garis masa pelaksanaannya," tambahnya.
Mengenai Baitul Mahabbah, Saifuddin berkata seramai 340 kanak-kanak dipindahkan dari depoh imigresen ke empat fasiliti Baitul Mahabbah di seluruh negara sejak program itu diwujudkan setahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 84 kanak-kanak telah dihantar pulang ke negara asal.
Saifuddin berkata kementerian itu bersedia meneliti kelemahan inisiatif itu sejak penubuhannya pada 4 Sept tahun lepas.
Dia juga menggesa NGO seperti EDN bekerjasama dengan kerajaan dalam menambah baik inisiatif berkenaan dan bukan hanya sekadar mengkritik.
“Sementara banyak NGO yang tampil ke depan memberi syor, cadangan, teguran dan kerjasama membantu KDN dalam projek Baitul Mahabah, saya tidak pula mengenali EDN ini.
"Mereka bebas beri komen dan pandangan namun KDN lebih nenghargai NGO yang bukan hanya bercakap tetapi tampil membantu KDN dalam menambah baik pengendalian Baitul Mahabah," katanya.