Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu penempatan pegawai Jakim: Na'im jumpa MCCBCHST esok

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) esok.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu bertujuan membincangkan perkara berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di jabatan kerajaan dan kementerian.

Dua hari lepas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam sidang medianya berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh MCCBCHST bahawa pegawai Jakim yang ditempatkan di sejumlah jabatan kerajaan dan kementerian terlibat dalam penggubalan dasar adalah tidak berasas, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Mohd N’aim serta KPN mengadakan perbincangan dengan kumpulan agama itu.

Sementara itu KPN dalam kenyataan sama berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sentiasa bersedia untuk menyediakan perkhidmatan Mediator Komuniti dalam mengurus isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Kementerian telah melantik 562 orang Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat yang dikenali dalam membendung dan mengurus isu-isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.

"Walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan namun jika ianya diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan negara dalam membentuk Malaysia MADANI yang harmoni dan bersatu-padu," kata KPN.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS