Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendengaran rayuan akhir bekas Adun rogol amah 23 Oktober ini
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Mahkamah Persekutuan menetapkan 23 Okt depan untuk mendengar rayuan akhir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalah kerana merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.

Peguam Yong, Datuk Rajpal Singh ketika dihubungi hari ini mengesahkan tarikh pendengaran tersebut.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan bersalah terhadap Yong.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh pada 7 Julai 2019.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS