Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee gesa k'jaan ambil semula pemilikan projek HSR, Bandar Malaysia
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 3:19 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong menggesa kerajaan mengambil semula pemilikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Bandar Malaysia.

Dia berkata rancangan semasa untuk membolehkan sektor swasta membangun dan menjalankan HSR mungkin tidak berdaya maju dan mengakibatkan lebih banyak kelewatan yang menyebabkan negara tidak mendapat faedah ekonomi dan sosial projek itu.

Dalam catatan Facebook hari ini, Wee berkata Eurostar London-Paris HSR mengambil masa 20 tahun sebelum ia mula menjana keuntungan, justeru dia ragu mana-mana syarikat swasta boleh menunggu dalam tempoh sebegitu.

Bagaimanapun, dia berkata jawapan kepada isu projek itu terlalu mahal untuk kerajaan terletak pada projek Bandar Malaysia.

"Projek HSR tidak boleh dilihat secara berasingan. Sebaliknya, ia mesti seiring dengan projek Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value, GDV) Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang juga menjadi stesen penting HSR.

"Idea asal adalah untuk meraih keuntungan projek Bandar Malaysia yang sangat berdaya maju bagi membiayai silang projek HSR.

"Malah, jika ia dilakukan dengan betul maka keuntungan projek Bandar Malaysia dengan mudah dapat membayar keseluruhan atau kos yang besar bagi projek HSR ini," katanya,

Wee berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengambil semula pemilikan kedua-dua projek itu dan membenarkannya dibangunkan oleh satu konsortium.

Dia menambah Putrajaya juga harus mempertimbangkan untuk melibatkan kerajaan Singapura dan GLCnya sebagai rakan kongsi projek, yang menurutnya boleh menjadikan Bandar Malaysia lebih berdaya maju dan menggalakkan lebih banyak syarikat Singapura memindahkan sebahagian daripada operasi mereka ke negara ini.

Tahun lepas dalam ucapan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil alih projek Bandar Malaysia bagi memastikan projek itu digunakan secara optimum untuk projek rakyat.

Bagaimanapun, statusnya sebagai stesen HSR pada masa ini tidak diketahui.

Perjanjian dua hala projek HSR KL-Singapura ditandatangani pada 2016.

Pembinaan telah digantung pada September 2018 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang meminta lanjutan sehingga akhir 2020.

Kemudian pada 2021, pentadbiran Muhyiddin Yassin - yang mengambil alih pada Mac 2020 - secara rasmi membatalkan perjanjian dengan Singapura selepas rundingan semasa pandemik Covid-19 gagal.

Wee adalah menteri pengangkutan pada masa perjanjian itu dibatalkan.

Salah satu perkara yang dibantah oleh pentadbiran Muhyiddin ialah syarikat aset yang ditender bersama dengan Singapura.

Di bawah model AssetsCo, Malaysia dan Singapura mesti bersama-sama membuka tender antarabangsa untuk melantik syarikat yang sesuai untuk mengambil peranan AssetsCo.

Pentadbiran Muhyiddin kemudian bercadang untuk menyelaraskan semula HSR untuk menghubungkan Thailand.

Apabila kerajaan Madani mengambil alih, pengganti Wee, Anthony Loke berkata Putrajaya terbuka kepada rancangan asal HSR bagi KL-Singapura.

Bagaimanapun, pendirian kerajaan Madani kekal bahawa ia mesti dibiayai secara persendirian tanpa jaminan pinjaman daripada Putrajaya.

Semalam MyHSR Corporation berkata hasil kajian kebolehlaksanaan projek HSR akan diumumkan pada suku keempat tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS