mk-logo
Berita
Bekas Exco S’gor salahkan Khazanah atas masalah MAS
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Di tengah isu masalah Malaysia Airlines (MAS) terus menjadi perhatian, seorang bekas Exco Selangor berkata pemilik penerbangan itu, Khazanah Nasional Berhad perlu turut memikul tanggungjawab.

“Ketika saya bertanggungjawab ke atas pembangunan industri aeroangkasa…kerajaan negeri tidak setuju dengan cadangan pajakan atas dua sebab,” kata Teng Chang Kim dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu selepas bekas menteri, Khairy Jamaluddin berkata MAS menjadi mangsa kepada keputusan Khazanah beberapa tahun lalu untuk memajak dua dua hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor kepada sebuah syarikat Singapura selama 15 tahun.

Teng Cang Khim

Menurut laporan The New Straits Times semalam, Khairy berkata pajakan itu membolehkan SIA Engineering Company (SIAEC), iaitu syarikat selenggara kapal terbang milik Singapore Airlines, untuk “memburu” tenaga kerja penting, yang meyebabkan kesan domino kepada operasi MAS.

“Antara syarikat itu adalah SIAEC, yang mana Khazanah beri konsesi untuk beroperasi dari dua hangar di Subang.

“Apabila itu berlaku, ia bukan hanya tentang satu keputusan, kerana persaingan MRO (selenggara, baiki dan baik pulih) tak terhad kepada satu syarikat sahaja.

“Kesan yang tak disengajakan adalah kehilangan jurutera kapal terbang berlesen dari MAS sendiri ekoran persaingan. 

“Apabila SIAEC masuk, apa yang anda jangka akan berlaku? Mereka akan tawarkan pendapatan lebih tinggi dengan gaji (dibayar) dalam SGD (dolar Singapura),” katanya dalam audio siar Keluar sekejap.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SIAEC pada 5 April 2022, syarikat itu memeterai memorandum persefahaman (MOU) tidak terikat dengan Impeccable Vintage Properties Sdn Bhd (IVP), subsidiari milik penuh Khazanah, untuk peluang memajak dua hangar di Kompleks A, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Pada masa itu, Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri dan Tengku Zafrul Abdul Aziz memegang jawatan menteri kewangan.

Pada 20 Disember 2023, SIAEC mengeluarkan satu lagi kenyataan bagi memaklumkan ia telah memeterai perjanjian dengan IVP untuk memajak dua hangar itu selama 15 tahun, dengan pilihan untuk memperbaharui pajakan untuk tempoh 15 tahun lagi.

Mengulas lanjut, Teng berkata pada masa itu, ada satu cadangan strategik berhubung pengembangan aspek MRO National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi).

Ia melibatkan penambahbaikan zon aeroangkasa Subang dan pembangunan hab pesawat peribadi Asia Pasifik - yang memerlukan sokongan Khazanah, Nadi, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dan kerajaan Selangor.

“Yang kedua, kerajaan negeri berpandangan SIAEC seharusnya ke Selangor Aeropark di Sepang yang dicadangkan dan akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk dibangunkan. Dalam tempoh itu, usaha bertumpu daripada semua pihak akan melahirkan lebih ramai jurutera dan juruteknik bagi memenuhi permintaan industri aeroangkasa…” katanya.

Bagaimanapun, Teng mendakwa Khazanah menolak cadangan itu dengan enggan menyertai mesyuarat dan tidak menjawab surat yang dihantar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Perkara itu turut dibawa ke perhatian menteri-menteri namun tiada hasil.

“Malangnya, kesan yang ‘tak disengajakan’ itu menunjukkan kerajaan Selangor berpandangan jauh namun ia (kesan itu) membawa kerugian besar kepada kepentingan negara,” katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS