Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis ambil keterangan ibu kanak-kanak 10 tahun pandu kereta

Polis telah mengambil keterangan ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang memandu kereta sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di Seremban, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata wanita berusia lingkungan 40-an itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, semalam.

“Kita akan panggil bapa kanak-kanak itu pula dalam waktu terdekat, ketika ini bapanya yang juga berumur dalam lingkungan 40-an itu sedang menerima rawatan kerana sakit jantung,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, kanak-kanak yang memandu kereta jenis Toyota Corolla bersama jirannya berusia sembilan tahun terbabas ketika melalui selekoh dan merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan sebelum van itu melanggar sebuah kereta di hadapan.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohamad Hatta berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 111 akta sama, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS