Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Johor akur, sedia bantu calon Bersatu menang di Mahkota
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 11:36 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

PAS Johor tidak akan merayu atau memboikot keputusan pucuk pimpinan yang meletakkan calon Bersatu bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kecil DUN Mahkota di Johor pada 28 Sept ini.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata PAS Johor akan mematuhi keputusan muktamad pucuk pimpinan meskipun mereka telah mengemukakan enam nama calon berpotensi kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Kita dari awal sudah putuskan kita serah kepada pusat buat keputusan akhir dan bila pusat buat keputusan, sudah pasti telah mengambil kira pelbagai faktor, jadi kita terima.

“Kita akan bantu menangkan calon PN di PRK Mahkota, tak berbangkit soal boikot ke apa sebab beberapa pilihan raya kita guna lambang PN, jadi siapa saja calon, mereka tetap dari PN., kata Abdullah yang juga adalah timbalan pengerusi PN Johor kepada FMT.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, PN memutuskan Bersatu akan bertanding pada PRK Mahkota selepas mengambil kira kerusi itu milik Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, pengumuman calon dijangka dibuat seminggu sebelum hari penamaan calon pada 14 Sept ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Umno, Sharifah Azizah Syed Zain.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani memberitahu pemberita semalam bahawa BN berkemungkinan akan menamakan calonnya untuk PRK Mahkota minggu depan.

Katanya, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi akan mengumumkan nama calon yang dipilih untuk mempertahankan kerusi itu.

Menurut FMT, Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussein Syed Abdullah antara yang dikhabarkan akan dipertimbangkan bersama-sama Timbalan Ketua Wanita Umno Kluang Zainani Jamaluddin dan ketua Umno Kluang Jais Sarday.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS