Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB: Nelayan Port Dickson terkesan projek hotel terima pampasan

Seramai 31 nelayan di  Telok Kemang, Port Dickson yang terkesan ekoran projek pembangunan sebuah hotel menerima pampasan masing-masing RM3,000 untuk tiga bulan pertama.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia berikutan projek berkenaan telah bermula sejak Jun lepas dan pampasan bulanan sebanyak RM1,000 akan diberikan secara terus kepada penerima melalui Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang (PNKTK) selepas ini.

"Bayaran ini berterusan hingga 12 tahun bagi memastikan nelayan terlibat tidak terjejas dari segi hasil pendapatan. 

"Seramai 20 pemilik bot dan 11 awak-awak yang juga nelayan kapal tradisional menerima pampasan itu,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan pampasan kepada nelayan Telok Kemang di sana.

Dia berkata lokasi yang terlibat dalam pembangunan itu sebahagian dari kawasan penangkapan hasil laut oleh PNKTK yang berpangkalan di Pengkalan Telok Pelandok.

Aminuddin berkata terdapat 611 nelayan berdaftar di Port Dickson dengan jumlah tangkapan 187 metrik tan bernilai RM 3.1 juta dan nelayan di Pengkalan Nelayan Telok Pelandok menyumbang enam peratus hasil tangkapan keseluruhan di Port Dickson.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata pihaknya melalui mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri telah meluluskan belanjawan 2025 yang dijangka dibentangkan hujung tahun ini.

Katanya, hasil keputusan itu daripada pemukiman bengkel konsultasi belanjawan 2025 yang diadakan di Putrajaya pada Ogos lepas dan dipersetujui semua ahli Exco pada mesyuarat semalam.

"Kita telah meluluskan bajet di peringkat MMK, setelah berbincang dan diharmonikan beberapa perkara serta dibentangkan semula kepada mesyuarat Exco terdapat sedikit perubahan yang dibuat namun semuanya dalam keadaan baik," katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS