Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembunuhan kejam tanda tandusnya nilai kemanusiaan - pakar

Akhir-akhir ini negara kerap dikejutkan dengan kes bunuh yang terlalu kejam, jauh melangkaui batas kemanusiaan hingga mengundang polemik di pentas media sosial lantaran keadaan kematian mangsa begitu tragik.

Ke manakah perginya manusiawi si pelaku hingga tergamak memenggal dan mengerat anggota tubuh mangsa yang kemudian dibuang di tepi jalan, seolah-olah jasad itu ketika hayatnya bukan seorang manusia? 

Ironinya, menurut polis, kebanyakan kes pembunuhan sedemikian membabitkan mereka yang saling mengenali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam laporan media baru-baru ini, berkata kebanyakan kes bunuh yang berlaku melibatkan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau persahabatan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan polis, antara motif utama pembunuhan ialah hubungan berubah menjadi tidak baik, dendam, akibat masalah perniagaan yang dijalankan secara bersama oleh mangsa dan suspek serta penggunaan bahan terlarang seperti dadah. 

Pakar psikologi tidak menolak kekejaman melampau itu juga menunjukkan ketandusan nilai kemanusiaan pada si pelaku yang didorong oleh pelbagai faktor.

Bertindak luar batas

Mengulas punca seseorang tergamak membunuh hingga sedemikian rupa, pakar psikologi Dr Farhana Sabri berkata ketidakseimbangan fungsi eksekutif otak adalah antara pencetus tindakan luar kawal manusia termasuk membunuh.   

“Fungsi eksekutif ini (bahagian depan otak) diibaratkan sebagai ‘ketua otak’. Ada tiga kemahiran fungsi eksekutif dalam otak, iaitu memori kerja (bagaimana individu menyimpan dan menggunakan maklumat), fleksibiliti kognitif (kemampuan berfikir) dan kawalan kendiri (keupayaan mengawal tindakan impulsif).

“Manusia memerlukan ketiga-tiga kemahiran ini untuk mengawal rangsangan, dan jika satu kemahiran tidak seimbang maka boleh tercetus tindakan (akibat) emosi di luar kawalan,” jelasnya yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada Bernama.

Ringkasnya, katanya, fungsi eksekutif bertanggungjawab membantu individu berfikir cara menyelesaikan masalah serta tindakan yang perlu atau tidak perlu untuk individu itu lakukan, bersesuaian dengan masalah yang dihadapi.

Dia berkata fungsi eksekutif boleh terjejas atau rosak akibat penggunaan bahan terlarang seperti dadah atau penyakit kritikal tertentu.

Selain itu, kewujudan perasaan seperti  “tiada jalan keluar” dan “rasa tersepit”  adalah antara tanda-tanda awal seseorang mempunyai masalah regulasi emosi yang juga terkait dengan fungsi eksekutif otak, jelasnya.

“Seseorang yang gagal mengawal emosi lazimnya kerana mereka mempunyai masalah regulasi emosi, atau dalam psikologi disebut sebagai disregulasi emosi, iaitu gejala melibatkan masalah mengawal emosi dan menentukan tindakan yang sesuai untuk menguruskan emosi tersebut.

“Individu yang mempunyai masalah  ini biasanya akan bertindak secara berlebihan atau ekstrem terhadap sesuatu emosi. Tindakan terhadap emosi yang berlebihan cenderung melanggar norma masyarakat, atau lebih parah melibatkan jenayah,” katanya.

Tidak rasional

Sementara itu, menurut pakar psikologi kaunseling Dr Abdul Rashid Abdul Aziz, tindakan tidak rasional dan luar kawal berpunca daripada cetusan emosi negatif.

“Kebanyakan kes yang melibatkan tindakan tidak rasional berpunca daripada emosi negatif seperti rasa marah. Kemarahan ini dapat difahami sebagai cetusan perasaan yang lahir daripada sesuatu konflik dan membangkitkan sifat antagonis dalam diri seseorang.

“Selain itu, perasaan marah juga boleh mendorong tingkah laku agresif dan menyebabkan seseorang bertindak di luar kawalan apabila kemarahan tersebut mencapai aras klimaks sehingga boleh menyebabkan insiden kematian,” jelas pensyarah Usim itu.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata rasa dendam yang mungkin telah lama disimpan turut berpotensi “mendesak” seseorang individu mengambil jalan singkat bagi melepaskan rasa tidak puas hati dan kebencian.

“Dendam dan amarah yang tersimpan ini ibarat gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletus, iaitu terjadi disebabkan ‘pendaman’ yang begitu lama.

“Sekiranya unfinished issue, konflik diri dan masalah hati ini tidak diselesaikan, ia secara tidak langsung akan mendorong lebih banyak sifat tercela menguasai diri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya lagi, amat penting untuk individu berkenaan menguasai kemahiran yang dapat menyingkirkan emosi negatif agar mampu membuat pertimbangan secara rasional.

Tanpa pertimbangan rasional, manusia cenderung membuat keputusan berdasarkan emosi negatif yang boleh membawa kepada kesan merosakkan, tegasnya.

Hilang kawalan emosi

Abdul Rashid tidak menolak kes pembunuhan ngeri menandakan ketandusan nilai kemanusiaan dan perlu ditangani segera. 

Katanya, dalam konteks Islam, pembunuhan dan jenayah adalah bertentangan dengan ajaran agama.

Malah, katanya, satu daripada prinsip maqasid syariah ialah menjaga nyawa dan maruah manusia.

Justeru, kerosakan jiwa dan naluri kemanusiaan berdasarkan kes jenayah belakangan ini memerlukan perhatian serius kerana isu itu bukan masalah individu sebaliknya masyarakat secara keseluruhan, tegasnya.

Dia berkata usaha untuk memperkukuh kembali nilai kemanusiaan perlu dilaksanakan melalui pendidikan, penghayatan agama, sokongan psikologi serta pembinaan semula jaringan sosial yang sihat, bagi memastikan kelahiran generasi yang sejahtera dan berperikemanusiaan.

“Selain itu, rasa kasih mengasihani perlu disemai dalam jiwa setiap ahli masyarakat yang akan membendung individu daripada melakukan perkara mungkar, dan secara tidak langsung dapat menjaga keharmonian dalam sesebuah hubungan.

“…sepertimana yang ditegaskan Nabi Muhammad SAW bahawa tidak beriman seorang antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri,” katanya lagi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS