Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu OKU, LFL serah memo, dashcam pada PM esok
Diterbitkan:  Sep 4, 2024 10:26 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

Pemandu e-hailing pekak, Ong Ing Keong dan Lawyers for Liberty (LFL) akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim esok.

Ia berkaitan serangan terhadap pemandu berusia 48 tahun itu oleh seorang anggota polis yang mengiringi Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 28 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan media, LFL berkata memorandum tersebut akan diserahkan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada jam 11 pagi.

“Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan pada 5 Jun bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tetapi tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadap anggota polis yang terlibat walaupun terdapat bukti video jelas tentang serangan ke atas Ong.

“Salinan video dashcam akan diserahkan kepada perdana menteri,” katanya.

Turut hadir ialah wakil dari Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia, yang lantang menuntut keadilan untuk Ong, serta NGO dan aktivis.

Kronologi kejadian

Pada 14 Ogos, Ong (gambar di atas) tidak dapat menahan air mata apabila rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) mengenai kejadian itu di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur ditayangkan kepada media.

Dalam klip video selama satu setengah minit itu, mangsa kelihatan duduk di kerusi pemandu, sambil menunggu penumpangnya memasukkan barang ke dalam but kereta sebelum seorang lelaki berpakaian sut mengetuk cermin tingkap keretanya dan meminta dia beredar.

Ong memberi isyarat kepada lelaki itu dan cuba memberitahu bahawa dia sedang menunggu penumpangnya masuk ke kenderaan berkenaan.

Beberapa saat kemudian, seorang lagi lelaki berpakaian sut muncul di sebelah tingkap dan menumbuknya, menyebabkan mangsa terkejut.

Individu pertama kemudian memberitahu Ong "Jalan, jalan!" selepas ketiga-tiga penumpang masuk.

Pada sidang media, peguamnya, N Surendran, meluahkan rasa kecewa kerana tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap pelaku.

“Saya tidak tahu mengapa, sedangkan bukti jelas. Tiada sesiapa yang dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS