Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ismail Sabri Yaakob perdana menteri kesembilan bukan perdana menteri yang biasa-biasa.

Anggota parlimen Bera kelahiran Temerloh di Kampung Lubuk Kawah, Pahang dibesarkan dalam suasana sejarah perjuangan bangsa dan tanah air.

Penglibatan Sabri, nama panggilan saya kepadanya dalam politik bermula sebagai ahli dan Pemuda Umno di Pahang bawah kepimpinan Sabarudin Chik, ketua Umno Temerloh, mantan menteri persekutuan dan setiausaha agung Umno.

Saya cuba mengajak Sabri menjadi anggota Parti Rakyat (PRM). Tetapi dengan hormat Sabri menolak. Hatinya telah terpikat kepada Umno.

Inilah perjalanan hidup. Jika beliau menjadi anggota Parti Rakyat mungkin Sabri tidak menjadi perdana menteri kesembilan.

Semasa Sabri menjadi perdana menteri dalam beberapa belas bulan bermula berakhir zaman pandemik Covid-19 hingga Pilihan Raya Umum 2022, banyak pencapaian yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan pimpinannya. 

Di zaman kepimpinan Sabri, suasana politik Malaysia tenteram. Seperti Sabri yang tenang maka begitulah cuaca politik Malaysia ketika itu.

Dua pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sebulat suara berjaya dilakukan oleh parlimen di bawah teraju Sabri. 

Pertama adalah pindaan kepada Perkara 1(2) mengenai status wilayah Sabah dan Sarawak.

Kedua ialah mengenai Perkara 49(A) berkaitan apa yang dipanggil Akta Antilompat Parti.

Bawah kepimpinan Sabri dengan dibantu oleh de facto Menteri Undang-Undang Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (sekarang gabenor Sarawak) maka pindaan-pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dapat dilakukan dalam suasana aman damai tanpa kecoh-kecoh dan hiruk pikuk.

Semasa Sabri menjadi perdana menteri, sistem kehakiman berjalan bebas dan penuh berwibawa.

Tiada tokoh-tokoh besar politik yang diberi hadiah pelepasan secara DNAA.

PM kesembilan ini dilihat lemah dan longlai.

Namun kita dapat saksikan, jika mahkamah memutuskan orang yang dituduh itu bersalah dan dihukum penjara, maka keputusan mahkamah itu dilaksanakan.

Ini berlaku walaupun tertuduh itu seorang bekas perdana menteri dan mantan presiden parti yang ada anggota lebih tiga juta orang.

Di sinilah kekuatan anak bungsu Pak Yaacob yang saya kenali.

Inilah juga kekuatan adik lelaki Kamarazaman Yaacob yang masih bersekolah ketika abangnya Kamarazaman, mantan presiden Mahasiswa Universiti Malaya ditangkap dan disumbat ke Kamunting, Perak bawah ISA bersama-sama Anwar dalam kes kebangkitan mahasiswa dalam Peristiwa Baling 1974.

Sekarang ketika karangan ini ditulis, kita sibuk di media sosial dan media perdana tentang isu peruntukan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang.

Timbul soal draf MOU dan sebagainya. Tetapi ketika Ismail Sabri Yaakob memimpin kerajaan tidak jadi isu besar soal itu.

Sabri dengan mudah memberikan peruntukan yang adil kepada ahli-ahli parlimen pembangkang.

Wataknya sebagai seorang yang dilatih sebagai peguam yang sentiasa ingin menegakkan keadilan tercermin dalam pelaksanaan peruntukan  kepada ahli-ahli parlimen yang telah dipilih rakyat tanpa mengira mereka di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

Di parlimen ketika Sabri sebagai berdiri berucap di blok kerajaan, manakala saya sebagai ahli parlimen pembangkang duduk memandang perdana menteri kesembilan itu dengan rasa penuh bangga dan syukur.

Walaupun kami berbeza parti politik tetapi saya berbangga kerana Ismail Sabri itu adalah bekas pelajar saya ketika saya menjadi guru dan pengetua di sebuah Kolej di Kuala Lumpur. 

Malah isterinya Muhaini yang saya panggil Nani juga murid saya.

Semoga Sabri terus memimpin.

Saya bukan berkempen tetapi saya rasa Umno dan BN memerlukan pemimpin baik sepertinya.


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS