Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri ulang tak benarkan tanam sawit di kawasan hutan

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani sekali lagi menegaskan, kerajaan tetap tidak membenarkan pembukaan ladang kelapa sawit di kawasan hutan.

"Kita tandatangani perjanjian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dulu.

“Kita bagi komitmen bahawa (jumlah) peratusan hutan tidak kurang daripada 50 peratus. Sekarang kita ada 54 peratus.

"Sebab itu kita tak benarkan lagi pembangunan ladang kelapa sawit di kawasan hutan, orang pergi tebang hutan, tanam kelapa sawit," katanya kepada pemberita di Morib, Selangor hari ini.

Kata Johari, dasar pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang ditubuhkan selepas 31 Dis 2019 melarang pembelian bahan dari ladang kepala sawit yang dibuka hasil pembersihan hutan semula jadi.

Menurutnya, kerajaan boleh menarik balik sijil MSPO kepada mana-mana kilang yang masih membeli kelapa sawit dari ladang yang dibuka di kawasan hutan.

"Kalau dia nak buat juga, kelapa sawit itu tidak boleh dibeli oleh kilang. Kalau kilang beli juga dia (kilang itu) akan hilang MSPO," katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu tidak menyebut mana-mana projek secara khusus.

Bagaimanapun, Malaysiakini hari ini melaporkan syarikat Pure Green Development Sdn Bhd mengemukakan penilaian impak alam sekitar (EIA) dua bulan yang lalu untuk membangunkan ladang kelapa sawit di kawasan hutan di daerah Kuala Nerus, Terengganu.


Baca: Projek Sultan T'ganu, adinda cetus kebimbangan alam sekitar


Projek itu menimbulkan kontroversi. Selain dijangka memberi kesan terhadap hutan, kebimbangan turut timbul terhadap risiko banjir dan gangguan bekalan air semasa musim kemarau.

Pure Green Development dimiliki oleh adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

EIA itu juga mendedahkan syarikat berbeza yang dimiliki oleh sultan sedang membersihkan hutan di kawasan bersebelahan.

Sementara itu, Johari berkata, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang mengkaji penggunaan teknologi RT-ECO iaitu Rawatan Efluen Kilang Kelapa Sawit (POME) dalam memastikan kemampanan pengeluaran sawit negara.

Katanya, teknologi rawatan efluen dari Singapura itu sesuai dalam memenuhi permintaan pasaran berhubung pemeliharaan alam sekitar.

RT-ECO dikendalikan oleh syarikat Merujaya POME Solutions Sdn Bhd menggunakan teknologi elektrokimia dalam menapis efluen sawit dalam memastikan sisa yang dihasilkan ketika pengeluaran selamat dan boleh digunakan semula oleh kilang, sekali gus mematuhi standard kemampanan dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS