PAS menyatakan kebimbangan mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat tahun depan.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim berkata, terdapat empat isu hak orang Melayu berkaitan akta baru tersebut yang wajar dibimbangi.
“Kadang-kadang kita orang Melayu ni merasa bangga dengan gah pembangunan banyak, kedai banyak supermarket, megamall dan sebagainya tapi orang Melayu duduk kat mana?
“Di mana kepentingan kita? Adakah kita semakin terpinggir? Adakah kita dipelihara dari segi kedudukan kita?” soal Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, lapor Harakahdaily.
Dia berkata demikian sewaktu merasmikan Seminar Penerangan Akta Pembangunan Semula Bandar Peringkat Negeri Melaka di Bukit Katil, Melaka, malam tadi.
Selain penindasan golongan majoriti terhadap kaum Melayu bandar, Ahmad berkata tiga isu utama yang dibimbangi ialah pelanggaran hak milik, kesan sosial dan penindanan kepada akta-akta sedia ada
Menurut Amzad, pelanggaran hak milik tanah mungkin berlaku dengan keperluan untuk kerajaan mendapatkan ambang persetujuan 100 peratus bakal dikurangkan dengan akta baru itu.
“Sebarang pembangunan semula yang tidak mendapat persetujuan 100 peratus pemilik rumah adalah melanggar Perkara 13 Perlembagaan Negara yang menjamin hak setiap warganegara untuk memiliki harta.
“Dalam hal ini hak asas pemilik mestilah dilindungi terutama bagi orang Melayu yang sudah lama menetap di dalam kawasan bandar,” tegasnya.
Menurutnya, penindasan golongan majoriti terhadap orang Melayu bakal berlaku kerana hampir di semua kawasan bandar, Melayu adalah minoriti dan akan tertindas dengan pengurangan peratus ambang persetujuan berkenaan.
“Jika ambang persetujuan hanya memerlukan 75 peratus, maka 25 peratus yang menjadi minoriti ini yang tidak bersetuju akan dipaksa menyerahkan rumah mereka.
“Ini adalah bentuk penindasan yang disebut sebagai ‘tyranny of majority’,” katanya.
Tambahya, kesan sosial juga bakal melanda golongan Melayu bandar sekiranya akta itu dikuatkuasakan.
“Pembangunan semula ini mungkin akan memaksa ramai orang Melayu termasuk yang berpendapatan rendah ataupun sudah bersara untuk berpindah dari kediaman asal mereka.
“Ini memberikan kesan yang negatif kepada komuniti kepada Melayu bandar yang mungkin tidak mampu mencari penggantian rumah yang setara ataupun yang lebih baik,” katanya.