Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga pasar malam Perlis wajib hentikan operasi semasa solat Maghrib
Diterbitkan:  Sep 4, 2024 5:10 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis bersetuju mewajibkan semua peniaga supaya memberhentikan operasi perniagaan bagi menghormati waktu solat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, dalam satu hantaran di Facebook berkata peniaga pasar malam bukan Islam turut digalakkan untuk menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan.

Namun, katanya, tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.

“Program ini akan berkuatkuasa bermula pada 15 September 2024 di semua tapak pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri ini.

“Tempoh pelaksanaan program bermula 10 minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu solat Maghrib bagi membolehkan para peniaga dan pengunjung untuk menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.

“Solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan, atau di lokasi yang disediakan oleh pihak penganjur tapak pasar malam tersebut, selain mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai oleh peniaga,” katanya.

Asrul Aimran berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakan para pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli-belah ketika masuknya waktu solat Maghrib.

Selain itu, dia yang juga Adun Kayang dan Ketua Penerangan PAS Perlis berkata, tindakan berkenaan bertujuan mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkannya.

“Buat permulaan, sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguatkuasa PBT akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ ini dengan memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu,” katanya lagi.

Sebelum ini, larangan yang sama juga dilaksanakan di Kelantan dan Kedah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS