Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nga puji Anwar kerana KL dipilih bandar paling mesra 2019
Diterbitkan:  Sep 4, 2024 12:51 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkongsi senarai yang meletakkan Kuala Lumpur di tangga teratas sebagai "bandar raya paling mesra di benua Asia".

Menyifatkannya sebagai "satu lagi berita baik", pemimpin DAP itu memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.

"Ini adalah bukti kejayaan kerajaan Madadi pimpinan Anwar Ibrahim," tulisnya di X pagi ini.

Katanya, pentadbiran semasa sentiasa menekankan sifat manusiawi, hormat dan ihsan sebagai pedoman hidup warga kota.

Tinjauan itu diterbitkan di laman web pelancongan, Enjoy.travel.com.

“Rakyat Malaysia secara semula jadi sememangnya mesra dan baik kepada orang yang tidak dikenali, dan Kuala Lumpur adalah contoh terbaik dalam hal ini.

“Sikap penduduk tempatan yang mesra terhadap pengunjung menjadikan begitu mudah untuk mendapat kawan di sini. KL adalah tempat teratas untuk pelancong dan ekspatriat,” katanya.

Walaupun disebut senarai itu diterbitkan "tahun lepas" di atas artikel itu, semakan oleh Malaysiakini mendapati ia pada asalnya diterbitkan pada 14 Sept 2019 sebelum Anwar menjadi perdana menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022.

Ketika tinjauan itu dijalankan, Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri pentadbiran Pakatan Harapan dan Zuraida Kamaruddin, antara ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah semasa Langkah Sheraton pada 2020, adalah menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Malaysiakini telah menghubungi Nga untuk mendapatkan ulasannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS