Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengumumkan perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Ia membabitkan sembilan ketua setiausaha (KSU), seorang timbalan ketua setiausaha kanan dan dua ketua pengarah yang berkuat kuasa esok dan 23 Sept ini.
Shamsul Azri berkata perubahan penempatan dan pelantikan baharu itu dilaksanakan seiring dengan hasrat kerajaan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang menuntut kepantasan, ketangkasan dan kedinamikan dalam kepimpinan tertinggi sektor awam bagi mendepani era baharu.
Beliau berkata langkah itu juga susulan pengumuman Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lepas.
"Perubahan penempatan dan pelantikan baharu itu adalah manifestasi kepada sinergi jalinan kerjasama antara agensi serta penghayatan kepada prinsip taat setia yang meletakkan keutamaan terhadap kesetiaan kepada Raja dan Negara dalam merealisasikan aspirasi kerajaan Madani," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Perubahan penempatan melibatkan KSU Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Lokman Hakim Ali yang akan ditukarkan ke Kementerian Pertahanan menggantikan Datuk Seri Isham Ishak yang berpindah ke KPKM, kedua-duanya berkuat kuasa 23 Sept.
Berkuat kuasa esok, KSU Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Suriani Ahmad akan mengisi kekosongan jawatan KSU Kementerian Kesihatan manakala KSU Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menggantikan Suriani.
Tempat Khairul Dzaimee diambil alih KSU Kementerian Perpaduan Datuk Azman Mohd Yusoff dan KSU Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad menggantikan Azman.
Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Azman Ibrahim dilantik KSU KKR yang baharu manakala KSU Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi bertukar ke Kementerian Pendidikan menggantikan Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi yang mengambil tempat Azman Ibrahim.
KSU KDN pula disandang Datuk Awang Alik Jeman yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM dan digantikan dengan Datuk Abd Shukor Mahmood.
Selain itu, Muhammad Razman Abu Samah dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) JPM yang sebelum ini disandang Shamsul Azri.
- Bernama