Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan digesa bebaskan kanak-kanak ditahan di Baitul Mahabbah
Diterbitkan:  Sep 4, 2024 10:17 AM
Dikemaskini: 2:17 AM

Putrajaya digesa membebaskan semua kanak-kanak yang ditahan oleh Jabatan Imigresen di pusat Baitul Mahabbah dan kemudahan lain ke tahanan alternatif berasaskan komuniti.

Menurut End Detention Network (EDN), walaupun Baitul Mahabbah telah ditubuhkan selama setahun untuk mengeluarkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari depoh tahanan imigresen, pusat itu masih merupakan satu lagi bentuk penahanan yang tiada penghujungnya.

Dalam satu kenyataan, gabungan 21 pertubuhan dan individu masyarakat sivil itu berkata terdapat kira-kira 170 kanak-kanak dilaporkan ditahan di pusat Baitul Mahabbah di seluruh negara setakat Julai.

"Tiada rancangan keluar alternatif untuk kanak-kanak di Baitul Mahabbah selain penghantaran pulang. Beberapa kanak-kanak pelarian telah tinggal di kemudahan Baitul Mahabbah selama hampir setahun, tanpa rancangan untuk pembebasan mereka.

"Tiada sebarang penilaian untuk menentukan sama ada pusat Baitul Mahabbah ini benar-benar memberi manfaat kepada kesejahteraan kanak-kanak berkenaan, dan jika ia adalah penggunaan sumber yang cekap.

“Namun, pada Ogos 2024, Menteri Dalam Negeri menyatakan hasratnya untuk membuka enam pusat Baitul Mahabbah menjelang Disember 2024, dan menubuhkan sekurang-kurangnya enam pusat lagi pada 2025,” kata EDN.

Tambahnya lagi, ia berkata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) juga tidak diberikan akses kepada mana-mana kemudahan tahanan imigresen, termasuk pusat Baitul Mahabbah, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat mengesahkan tuntutan suaka oleh kanak-kanak yang ditahan di sana.

Kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas juga terus ditempatkan di pusat tahanan imigresen kerana Baitul Mahabbah diklasifikasikan hanya untuk mereka yang berumur di bawah 10 tahun, kata EDN, sambil menambah bahawa menahan kanak-kanak di mana-mana kemudahan tahanan tidak boleh diterima kerana ia akan memudaratkan mereka dari segi mental dan fizikal.

“Penahanan dalam apa jua bentuk tidak sekali-kali demi kepentingan kanak-kanak dan merupakan pencabulan hak mereka.

“Oleh itu, EDN menggesa Kementerian Dalam Negeri membebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah dan pusat tahanan imigresen lain, kepada alternatif berasaskan komuniti kepada tahanan.

"Ini boleh dilakukan dengan bekerjasama dengan organisasi perlindungan kanak-kanak yang mampu menyediakan sokongan pengurusan kes dan hubungan kepada komuniti pelarian," katanya.

Pada 4 Sept tahun lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pembukaan Baitul Mahabbah, penempatan sementara untuk kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di depoh Imigresen.

Saifuddin dilaporkan berkata, kanak-kanak itu akan tinggal di premis berkenaan selepas melengkapkan dokumentasi mereka untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Dia juga berkata kanak-kanak itu dipindahkan ke Baitul Mahabbah dari depoh Imigresen atas dasar kemanusiaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS