Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakyat Melaka masih perlukan saya, sidang DUN sendu'
Diterbitkan:  Sep 4, 2024 9:40 AM
Dikemaskini: 1:40 AM

Bekas Adun Melaka Norhizam Hassan Baktee merancang untuk membuat kemunculan semula politik selepas berehat selama tiga tahun.

Norhizam yang sebelum ini menamakan dirinya sebagai "Hulk", merancang untuk bertanding di bawah panji Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri akan datang, yang dijangka diadakan pada November 2026.

"Saya nak buat ‘comeback’ kerana rakyat Melaka masih perlukan saya sebab sekarang mereka kata Datuk tak ada, sidang DUN sendu," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Norhizam masih belum memilih parti komponen PN mana yang dia mahu sertai, tetapi tidak menolak kemungkinan ia adalah PAS.

"Ada parti yang dah intai saya, tapi sedang tengok mana yang ok. Kalau saya masuk PAS pun apa salahnya, saya pakai serban dalam DUN nanti," katanya seloroh.

Norhizam, yang pernah menjadi ahli Umno, meninggalkan parti itu untuk menyertai DAP pada 2006. Dia kemudiannya berjaya memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu pada 2018 di bawah tiket DAP.

Selepas rampasan kuasa politik Langkah Sheraton pada 2020, dia keluar dari DAP untuk menjadi Adun bebas bagi menyokong kerajaan negeri BN dan PN.

Pada Oktober 2021, Norhizam menyertai tindakan bekas ketua menteri Umno Melaka Idris Haron untuk menarik balik sokongannya terhadap kerajaan ketika itu yang dipimpin oleh Sulaiman Md Ali dari Umno.

Langkah itu meruntuhkan kerajaan negeri, mencetuskan pilihan raya negeri.

DAP menentang permohonan Norhizam untuk bertanding pada pilihan raya negeri November 2021 di bawah tiket Pakatan Harapan. Dia kemudian bertanding sebagai calon bebas tetapi kalah.

DAP dan Umno kemudiannyamenolak usaha Norhizam untuk menyertai parti mereka untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15, tahun berikutnya.

Pada 2018, Norhizam mengakui dia bersikap pemarah dan memohon maaf atas keterlanjurannya semasa berdialog dengan penduduk berhubung penutupan jalan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS