mk-logo
Berita
Projek Sultan T'ganu, adinda cetus kebimbangan alam sekitar

Dua bulan yang lalu, Pure Green Development Sdn Bhd mengemukakan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk membangunkan ladang kelapa sawit di kawasan hutan di daerah Kuala Nerus, Terengganu.

Projek ini menimbulkan kontroversi. Selain kesan terhadap hutan, kebimbangan turut timbul dalam EIA mengenai potensi banjir dan gangguan bekalan air semasa musim kemarau.

Satu maklumat yang kurang diketahui juga telah muncul daripada EIA tersebut - Pure Green Development dimiliki oleh adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

EIA itu juga mendedahkan syarikat berbeza yang dimiliki oleh sultan juga sedang membersihkan hutan di kawasan bersebelahan.

Apa jadi di Belara?

Dua hutan yang terlibat - Hutan Simpan Belara dan hutan paya gambut yang bersebelahan di bahagian baratnya, kedua-duanya terletak di Mukim Pakoh.

Menurut Jabatan Perhutanan Terengganu pada tahun 2016, Hutan Simpan Belara pada asalnya meliputi kawasan seluas 4,589 hektar. Hutan paya gambut seluas 2,229 hektar manakala jumlah keluasan hutan berkenaan 6,818 hektar.

Namun, hutan simpan kekal Belara telah mengecil sejak tujuh tahun lalu disebabkan oleh penyahwartaan status hutan simpan dan projek pembalakan baru.

Sementara itu, hutan paya gambut bersebelahan pula menghadapi ancaman projek perladangan yang dicadangkan oleh Pure Green.

Pada 17 Ogos 2017, kerajaan Terengganu mewartakan penyahwartaan status hutan simpan bagi tiga petak hutan di Hutan Simpan Belara - bernombor PT 10175, PT 10176 dan PT 10177 - dan menukarkannya menjadi tanah pertanian.

Akibatnya, blok utama Hutan Simpan Belara "dipecahkan" menjadi empat blok kecil dan keluasan keseluruhannya berkurangan sebanyak 47 peratus kepada 2,432 hektar.

Tebang hutan tanpa rancangan masa depan?

Penyahwartaan status ini membuka jalan bagi operasi pembalakan masa depan di Hutan Belara.

Tiga tahun kemudian, sebuah syarikat bernama Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd mendapat kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menebang kira-kira 800 hektar hutan di Lot 10176.

Malaysiakini mendapati Cahaya Ikhtiar sebuah syarikat perladangan kelapa sawit. Pemilik tunggalnya ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurut Forest Tracker yang diterbitkan oleh Rimbawatch, JAS meluluskan sekurang-kurangnya dua laporan EIA daripada Cahaya Ikhtiar untuk aktiviti pembalakan pada penghujung tahun 2020. Kawasan yang terlibat kurang dari 500 hektar dan tidak memerlukan rundingan awam.


BACA BERKAITAN:

Pecahkan projek di hutan simpan: Bagaimana pemaju guna 'kelemahan peraturan'


Pada Februari tahun berikutnya, aktiviti pembalakan berskala besar berlaku di tanah PT 10176, dan hutan seluas 883 hektar telah ditebang dalam tempoh tiga tahun berikutnya.

Kerajaan negeri Terengganu menjelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 bahawa penyahwartaan status Hutan Simpan Belara bertujuan untuk membangunkan ladang kelapa sawit dan meningkatkan hasil kerajaan negeri.

Walaupun Cahaya Ikhtiar memposisikan dirinya sebagai syarikat perladangan namun laporan EIA yang dikemukakan oleh syarikat itu dikategorikan di bawah kategori "pembalakan" dan bukan "perladangan".

Projek perladangan baru adinda sultan

Empat tahun kemudian, Pure Green mengemukakan laporan EIA pada pertengahan bulan Jun tahun ini, dengan tujuan untuk membersihkan hutan paya gambut bagi membangunkan ladang kelapa sawit.

Carian latar belakang Pure Green mendapati pemegang saham terbesar adinda Sultan Mizan, Tengku Baderul Zaman.

Tengku Baderul memegang pegangan 30 peratus manakala Tan Khian Huat, Tam Piak Hock dan Tam Tian Ting memegang baki saham.

Pemilik tanah hutan paya gambut itu ialah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), yang dimiliki oleh kerajaan Terengganu dan dipengerusikan oleh menteri besar Terengganu.

Pada 25 Mei 2022, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu memutuskan untuk memajak kawasan projek yang dicadangkan kepada Pure Green selama 99 tahun untuk tujuan pertanian. Ahmad Samsuri Mokhtar daripada PAS ketika itu sudah menjadi menteri besar.

Kerajaan negeri Terengganu juga memberikan banyak diskaun kepada Pure Green, termasuk mengurangkan harga premium tanah sebanyak 50 peratus berbanding harga pasaran; Pure Green turut dikecualikan daripada membayar sewa selama tiga tahun pertama, menjimatkan syarikat tersebut sebanyak RM2 juta.

Malaysiakini telah menghubungi istana Terengganu dan Pure Green untuk mendapatkan maklum balas mereka. Selain e-mel, surat permintaan untuk komen juga dihantar kepada mereka.

Kayu ditebang bukan nilai tinggi

Model keuntungan projek ini membingungkan dan apa yang mendorong Pure Green untuk membangunkan projek kelapa sawit tersebut.

Hutan paya gambut yang disasarkan oleh Pure Green meliputi kawasan seluas 2,229 hektar, bersamaan dengan 4,165 padang bola sepak, iaitu kira-kira separuh dari keluasan Putrajaya.

Dalam kes Cahaya Ikhtiar milik Sultan Mizan, walaupun mungkin tidak dapat menanam dan menjual kelapa sawit pada masa hadapan, sekurang-kurangnya pembalakan awal boleh membawa keuntungan.

Namun, pembangunan hutan paya gambut oleh Tengku Baderul tidak menunjukkan prospek pendapatan.

Perunding yang menulis laporan EIA menyatakan wawancara dengan penebang kayu yang berpengalaman mendapati kayu dari tanah paya gambut tidak mempunyai nilai ekonomi dan kilang papan tidak menerimanya.

"Kawasan ini telah ditebang sebanyak tiga kali, ia mempunyai nilai ekonomi yang minimum, (kegunaan kayu-kayu hanya) boleh dihancurkan dan diubah menjadi biojisim dan palet," kata laporan itu.

Sementara itu, Pure Green akan menghadapi cabaran untuk mendapat keuntungan dari hasil ladang kelapa sawit kerana Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melarang ladang kelapa sawit yang ditubuhkan selepas 31 Disember 2019 daripada membersihkan hutan semula jadi.

Tiada halangan walau langgar peraturan

Dalam EIA, bahkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi telah membantah projek yang dicadangkan oleh Pure Green.

Namun, dalam surat bertarikh 11 Oktober 2023, Ketua Pengarah MPOB, Ahmad Parveez Ghulam Kadir menyatakan pihaknya tidak berhalangan terhadap projek Pure Green dengan syarat syarikat terbabit mematuhi peraturan kerajaan negeri.

Pada mulanya, dalam terma rujukan (TOR) bertarikh 5 Oktober 2023, MPOB menunjukkan projek yang dicadangkan melanggar keperluan MSPO, oleh itu produk-produk tidak boleh dijual di pasaran.

MPOB juga bimbang projek yang dicadangkan itu akan menjejaskan persepsi antarabangsa tentang usaha Malaysia memperbaiki kredibiliti alam sekitarnya.

Menanggapi kebimbangan ini, Pure Green menjawab mereka telah menerima kelulusan daripada kerajaan negeri.

"Kelulusan telah diberikan kepada pemaju projek pada tahun 2017 untuk menjalankan projek di Merchang, Marang, tetapi terdapat beberapa masalah teknikal yang menyebabkan pemaju projek mencari tanah alternatif.

"Oleh itu, pemaju projek mencadangkan tanah di Belara, Kuala Nerus dan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu," kata syarikat itu.

Sementara itu, MPOB, dalam laporan EIA, menyatakan walaupun mereka memainkan peranan penting dalam memberi lesen ladang kelapa sawit namun "untuk menghentikan penukaran (hutan) dan penanaman ini mungkin tidak sepenuhnya terletak di bawah bidang kuasa MPOB". MPOB mengingatkan kerajaan persekutuan dan negeri untuk mempunyai sinergi yang lebih baik mengenai hal-hal berkaitan tanah.

Tempoh maklum balas awam untuk laporan EIA berakhir pada 27 Ogos tahun ini dan kini sedang menunggu penilaian daripada Jabatan Alam Sekitar.

Tadahan air semulajadi bakal musnah

Terma rujukan (TOR) laporan EIA mendedahkan kebimbangan pegawai dari beberapa agensi kerajaan, terutamanya bahawa projek itu mungkin tidak menguntungkan dan berpotensi gagal setelah kawasan hutan yang dicadangkan dibersihkan akibat kesukaran pengurusan.

Sebagai contoh, Lembaga Sumber Air Terengganu (Laut) mengingatkan Pure Green berdasarkan komitmen industri kelapa sawit "tiada penebangan hutan, tiada paya gambut, tiada eksploitasi" (NDPE), minyak sawit yang dihasilkan oleh Pure Green tidak boleh dijual.

Sementara itu, JAS menyatakan ladang kelapa sawit di kawasan paya gambut sukar diuruskan kerana tanahnya yang tidak subur. Tanah paya gambut tidak mampu menyokong akar pokok kelapa sawit, menyebabkan pokok mudah tumbang.

Selain itu, terdapat juga risiko kebakaran berkaitan dengan kawasan paya gambut dan pemilik projek perlu menyediakan langkah pencegahan.

Dalam erti kata lain, projek yang dicadangkan itu mungkin merupakan projek yang buruk dengan Pure Green tidak mendapat keuntungan dan pada masa sama, kawasan tersebut akan mengalami kerosakan alam sekitar termasuk kemusnahan kawasan tadahan air semulajadi.

Laporan EIA yang disediakan oleh O&E Technologies menyatakan 66.35 peratus atau 1,506 hektar kawasan projek merupakan hutan paya gambut, oleh itu ia memainkan peranan penting sebagai "span semulajadi" untuk menyimpan air.

Selain itu, 45.32 peratus atau 1,029 hektar kawasan projek berkenaan ialah hutan paya gambut dara yang tidak pernah ditebang dan mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) menunjukkan hutan paya gambut mampu menyerap dan menyimpan sejumlah besar air. Ia tebatan banjir semula jadi. Jika hutan ini ditukar menjadi ladang kelapa sawit, ia boleh menyebabkan banjir di kawasan sekitarnya.

Lembaga Sumber Air Terengganu (Laut) mempunyai kebimbangan sama. Wakilnya berkata kawasan yang dicadangkan itu takungan larian air dari bukit-bukit bersebelahan. Apabila projek itu dimulakan, kawasan berdekatan akan mengalami aliran air yang lebih tinggi.

Krisis air pesawah padi di musim kemarau

Terdapat dua anak sungai di tapak yang dicadangkan, iaitu Sungai Bari dan Sungai Mek Sena. Kedua-dua sungai ini mengalir ke Sungai Merang dan mengalir ke Laut China Selatan.

Sungai-sungai ini mengalir melalui Kuala Terengganu dan daerah Setiu. Kampung-kampung di sepanjang sungai seperti Kampung Merang terletak di kawasan yang mudah banjir.

Selain risiko banjir, dikhuatiri juga ia akan mengakibatkan krisis air semasa musim kemarau.

Laut bimbang apabila takungan air dimusnahkan, bekalan air dari Sungai Merang akan berkurangan dan ini akan menjejaskan aktiviti akuakultur dan penanaman padi di kawasan hilir.

Laut juga menunjukkan apabila aliran air sungai berkurangan, terdapat risiko kemasukan air masin yang juga akan menjejaskan aktiviti akuakultur dan penanaman padi di kawasan hilir.

Laporan EIA memberi amaran konflik manusia-hidupan liar di sekitar kawasan penempatan manusia akan menjadi lebih serius apabila aktiviti pembersihan dimulakan.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dari 2019 hingga 2023, dalam radius 5km di sekitar tapak yang dicadangkan itu telah melaporkan 29 insiden konflik manusia-hidupan liar, melibatkan lapan spesies seperti harimau Malaya, buaya, beruang matahari, babi hutan dan monyet.

"Konflik manusia-hidupan liar dijangka berlaku... perhatian khusus perlu diberikan kepada kewujudan buaya Indo-pasifik dan Malayan Gharial (buaya jejulung) kerana spesies ini mendiami kawasan yang tergenang air di kawasan itu dan akan terjejas sepenuhnya apabila projek ini dimulakan kerana kehilangan habitat sepenuhnya," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS