Masjid Istiqlal di Jakarta yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara akan menjadi tuan rumah pertemuan antara Paus Francis dan Imam Besar masjid berkenaan, Nasaruddin Umar.
Pemimpin gereja Katolik dan kota Vatican itu tiba di Indonesia hari ini sebagai sebahagian daripada perjalanan apostoliknya yang ke-45.
Paus Francis, 87, dijadualkan menandatangani "dokumen kemanusiaan" dengan Nasaruddin dan bertemu pemimpin agama lain dalam usaha menyemarakkan keharmonian antara agama, menurut portal berita Tempo.co.
Majlis pertemuan dan menandatangani dokumen itu dijadualkan pada Khamis, sebelum Paus memimpin upacara keagamaan dengan pengikut Katolik di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Dokumen kemanusiaan yang akan ditandatangani oleh Paus Francis dan Imam Besar Masjid Istiqlal merupakan dokumen yang dipersiapkan secara penuh antara komuniti agama dari pihak Vatican bersama dengan Konferensi Waligereja Indonesia dan Masjid Istiqlal,” kata Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi seperti dipetik Tempo.
Menurut laporan itu, Paus Francis menandatangani dokumen serupa pada tahun 2019 semasa lawatan ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu di mana dia menyeru semua pemimpin agama untuk mengambil peranan dalam memelihara perpaduan, serta menangani isu-isu alam sekitar dan hak asasi manusia.
Dalam pada itu itu, Retno menyifatkan lawatan Paus sebagai tonggak penting dalam memelihara hubungan antara agama.
“Di tengah kondisi global yang masih diwarnai konflik antara-negara, semangat inilah yang seharusnya menjadi dasar bagi setiap hubungan antara-manusia mahupun antara-negara,” katanya.
Dilaporkan penganut Katolik membentuk kira-kira tiga peratus atau sekitar lapan juta daripada jumlah penduduk Indonesia yang terdiri daripada lebih 85 peratus Muslim.
Terdahulu, delegasi Paus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta selepas mengharungi perjalanan selama 14 jam dari Rome dan disambut oleh Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia Yaqut Cholil Qoumas, Ignatius Kardinal Suharyo Hardjoatmodjo, dan Duta Besar Vatican ke Indonesia, Piero Poppo.
Dia dijadualkan berada di Indonesia sehingga Jumaat sebelum berlepas ke Papua New Guinea, Timor Leste dan Singapura.