Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad diminta 'menoleh ke belakang' sebelum menyentuh isu kebebasan bersuara di dalam negara ini.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Mahathir boleh membandingkan pentadbirannya dulu dengan kerajaan Madani hari ini yang diibaratkan bagai langit dengan bumi.

Kata Fahmi, dia berasa "kasihan" melihat ahli politik terbabit membuat teguran berkaitan kebebasan suara tetapi pada masa sama mengabaikan corak pemerintahannya pada suatu ketika dulu.

"Alaaa... kasihan Dr Mahathir, dia masih boleh bersuara dan tidak ada sesiapa menghalangnya dari mengeluarkan kenyataan, atau (tiada) siapa menghalangnya menghadirkan diri ke mana-mana acara.

“Dia juga masih bebas bergerak untuk hadir dan tak hadir (di mana-mana). Dia bebas keluarkan kenyataan.

"Jauh macam langit dan bumi (jika dibandingkan) zaman pentadbiran sekarang dengan zaman pentadbiran (Mahathir) dulu," katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyatakan, dia masih ingat bagaimana corak kerajaan di bawah Mahathir mentadbir negara, termasuk ketika mendepani penunjuk perasaan.

Cara tangani timbalan sendiri

Di bawah pimpinan Mahathir juga, katanya, ada akhbar yang ditutup oleh pihak berkuasa kerana dianggap lantang mengkritik kerajaan.

"Orang yang berdemonstrasi di jalan raya dipukul, ditangkap, ditendang, dipenjarakan," katanya lagi.

Dalam catatan di blognya - yang dibuat selepas pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, didakwa di bawah Akta Hasutan dan menjelang sambutan Merdeka - Mahathir menegaskan kemerdekaan bermaksud bebas daripada dikuasai oleh orang lain, tekanan, dan kezaliman kerajaan.

Mengaitkan kemerdekaan negara dengan perjuangan orang terdahulu menentang British, ahli politik berusia 99 tahun itu mendakwa rakyat Malaysia ketika ini masih tidak bebas.

Megulas lanjut, Fahmi menggesa ahli politik yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu supaya mengimbau kembali sejarah pentadbirannya yang disifatkan sebagai kuku besi.

Tindak-tanduk Mahathir itu, katanya, boleh dilihat pada cara dia memperlakukan Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.

“Dua puluh enam tahun dulu timbalan perdana menteri (Anwar) dilucutkan jawatan dan kemudian diheret sama ada ke mahkamah atau dipukul dalam tahanan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS