Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon bertemu pemimpin PN dalam lawatan rasmi pertamanya ke negara ini.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin berkata pelbagai isu dibincangkan mereka terutamanya dalam meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
"Tidak terkecuali, Rt Hon Christopher Luxon sendiri berkongsi pengalaman serta cabaran politik sebelum beliau mengambil alih kepimpinan negara berkenaan dan bagaimana pendekatan yang diambilnya untuk membentuk kestabilan politik di New Zealand," katanya dalam catatan di Facebook.
Luxon yang merupakan bekas ahli perniagaan berusia 54 tahun, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri New Zealand pada November tahun lalu. Pemimpin Konservatif itu juga merupakan ketua pembangkang dari 2021 hingga 2023.
Menurut Hamzah, pertemuan itu turut membincangkan kerjasama ekonomi memandangkan New Zealand ketika ini adalah rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai RM11.56 bilion ($AS2.54 bilion).
"Kami juga menyentuh potensi serta nilai strategik Malaysia untuk menjadi hub kepada pasaran ekonomi ASEAN dengan lebih 600 juta penduduk yang nilai KDNK ketika ini adalah kelima terbesar di dunia.
"Selain itu, turut dibincangkan adalah soal kerjasama sektor pendidikan, isu-isu geopolitik serantau dan antarabangsa, aspek keselamatan dan jenayah rentas sempadan serta diplomasi budaya yang boleh dimainkan kedua-dua negara,” tambahnya.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ronald Kiandee (ketua portfolio pertanian dan keterjaminan makanan), Radzi Jidin (ketua portfolio kewangan), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal (ketua portfolio luar negeri), Khairil Nizam Khirudin (ketua portfolio pengangkutan) dan Halimah Ali (ketua portfolio perpaduan negara).
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menganjurkan majlis makan tengah hari untuk Luxon di Sri Perdana di Putrajaya.
Pada sidang akhbar bersama, kedua-dua pemimpin itu menggesa gencatan senjata segera dalam konflik di Gaza dan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.