Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tiada bandar di dunia dapat tandingi keindahan Putrajaya – Mahathir
Diterbitkan:  Sep 3, 2024 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Tiada bandar di dunia ini yang dapat menandingi keindahan dan susunan pembangunan seperti di Putrajaya, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang bertanggungjawab dalam 'melahirkan' bandar pentadbiran itu.

Menerusi satu catatan di media sosialnya, hari ini, Mahathir melahirkan rasa kagum dan bangga dengan pembangunan kawasan itu.

“Jalannya dipenuhi dengan tanaman bunga dan pagar yang dihias cantik manakala barisan pokok rendang pula menghiasi jalan raya.

“Taman pula dijaga dengan baik dengan adanya landskap. Pihak pentadbir jelas mempunyai cita rasa yang baik dengan menghargai keindahan.

“Bangunan yang berada di antara jalan (boulevard) tengah itu mengagumkan. Malah medan selera juga dibangunkan dan diselenggara dengan baik,” katanya.

Putrajaya adalah cetusan idea Dr Mahathir semasa dia adalah perdana menteri keempat. Tempat itu asalnya dikenali sebagai Prang Besar dan dibangunkan menjadi pusat pemerintahan kerajaan pada 12 Oktober 1994.

Namun aktiviti pembinaan hanya bermula pada 16 April 1995.

Kawasan berkeluasan 4,931 hektar itu dibangunkan dengan sebanyak RM20.5 bilion. Ia mengambil alih peranan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran kerajaan pada 1999.

Putrajaya kemudian diisytiharkan sebagai wilayah persekutuan pada 1 Februari 2001.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, keindahan Putrajaya pasti membanggakan rakyat negara ini dengan pertumbuhannya yang sangat luar biasa.

Katanya, bermula pelancarannya pada 1995, Putrajaya sudah matang namun paling membanggakan rakyat ialah keindahan bandar itu.

“Ia benar-benar mencerminkan sebuah bandar dalam taman.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbir Putrajaya kerana anda berjaya melaksanakan satu tugas yang hebat,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS