Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Akmal soal PAS - Tak nak minta MB Kedah, Perlis dicutikan juga ke?
Diterbitkan:  Sep 3, 2024 9:51 AM
Dikemaskini: 2:43 AM

Pemuda Umno mahu PAS menjawab persoalan sama ada ada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli  yang terpalit dengan kes mahkamah dan siasatan oleh SPRM perlu dicutikan atau tidak.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh melemparkan soalan itu susulan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi harus diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS

“Nak tanya pada YB Tuan Ibrahim Tuan Man juga

“Sebelum minta Dato’ Seri Zahid Hamidi dicutikan, tak nak  minta MB Kedah dan MB Perlis dicutikan juga ke?

“Masing-masing pun ada kes yang disiasat dan sedang didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Tuan Ibrahim mengalu-alukan sikap terbuka Zahid berhubung siasatan terbuka susulan laporan polis Pemuda Bersatu yang mendakwa dirinya memperdaya dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Bagaimanapun, kata pemimpin PAS itu, tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan timbalan perdana menteri.

Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno

Katanya, persoalan utama apakah hasil selepas siasatan, sedangkan 47 kes rasuah Zahid sebelum ini juga telah ditarik balik.

Mengulas lanjut, Akmal mempertikaikan desakan PAS yang mahu pemimpin kerajaan direhatkan tetapi tidak kepada pemimpinnya yang juga dalam keadaan yang sama.

“Kat orang lain boleh tetapi dekat geng sendiri tak boleh?” soalnya lagi.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung tindakan Sultan Selangor melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar.

Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang pada Mei lalu, ditahan SPRM Putrajaya selama sembilan jam untuk dirakam keterangannya berhubung dakwaan salah guna kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS