Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Elemen ekstremis dalam negara masih berkembang - Saifuddin
Diterbitkan:  Sep 2, 2024 10:55 PM
Dikemaskini: 2:59 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu menangani beberapa elemen ekstremis yang masih wujud di dalam negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau memberi jaminan walaupun terdapat petunjuk bahawa aktiviti itu sedang meningkat, PDRM berkeupayaan untuk mematahkannya.

"Apa pun keadaannya, yang paling penting ialah saya memberi jaminan bahawa pasukan polis berkemampuan untuk mengawalnya," katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Persidangan Keselamatan Dalam Negara di Putrajaya semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya pada persidangan itu, Saifuddin Nasution mendedahkan masih terdapat beberapa kumpulan di Malaysia yang percaya bahawa selagi kerajaan tidak mengamalkan fahaman Islam, kerajaan itu perlu ditentang.

"Ketua Polis Negara kerap memberikan input hampir setiap minggu tentang apa yang berlaku di lapangan.

"Jangan ingat kes Ulu Tiram itu kes terpencil, jangan anggap (mudah) tangkapan beberapa elemen Daesh, daripada pensyarah universiti hingga suri rumah serta pekerja sektor binaan … (elemen ekstremis) masih lagi berkembang, masih lagi wujud," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS