Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesawat ke Incheon patah balik sebab isu teknikal - MAS

Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan bahawa penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, terpaksa berpatah balik awal pagi ini berikutan isu teknikal berkaitan sistem hidraulik.

Dalam kenyataan hari ini, MAS memaklumkan bahawa penerbangan MH66 yang berlepas ke Incheon hari ini mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpatah balik ke Kuala Lumpur selepas berlepas dan mendarat dengan selamat di Terminal 1 KLIA pada 1.30 pagi.

“Kesemua penumpang telah diberi kemudahan penginapan di hotel dan penerbangan itu dijadualkan semula sebagai MH66D yang akan berlepas pada lapan malam ini. Penerbangan pulang MH67D juga dijadualkan semula dan akan berlepas pada 5.10 pagi (waktu tempatan), 3 Sept. 

“Keselamatan dan kebajikan kesemua penumpang serta anak kapal kekal menjadi keutamaan kami,” menurut MAS. 

Sementara itu, CEO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud  memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada MAS.

“⁠Pihak syarikat (MAS) telah memberikan laporan awal kepada CAAM, bagaimanapun maklumat terperinci mengenai insiden itu perlu menunggu siasatan penuh. Ke⁠semua anak kapal serta penumpang pesawat berkenaan berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, laporan media menyatakan sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dalam penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan dilaporkan telah berpatah balik awal pagi tadi.

Menurut laman Flightradar24, pesawat MH66 yang menggunakan pesawat Airbus A330-323 itu berlepas dari KLIA pada 12.01 tengah malam tadi sebelum berpatah balik dan selamat mendarat di KLIA beberapa jam kemudian.

Ini merupakan insiden kelima melibatkan penerbangan MAS terpaksa berpatah balik atau dilencongkan dalam tempoh kira-kira sebulan.  

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS