Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rugi 'sejak Tuhan buat dunia': Kedah nak RM50j setahun dari P Pinang

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya akan membawa isu tuntutan caj air mentah kepada Pulau Pinang ke mahkamah untuk diputuskan.

Hal itu kerana, Kedah menanggung kerugian yang besar sejak sekian lama dan Pulau Pinang sendiri mencadangkan agar ia dirujuk ke mahkamah.

“Pulau Pinang yang suruh kalau nak minta bayaran, kena bawa ke mahkamah. Jadi kita (Kedah) akan buat.

"Dia (kerajaan Pulau Pinang) yang suruh, bukan saya nak ambil tindakan,” katanya pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor, hari ini.

Ditanya nilai kerugian yang ditanggung oleh Kedah ekoran bekalan air ke negeri jirannya itu, Sanusi berkata: “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi, tak tahulah berapa.”

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mohktar, Menteri Besar Kelantan Mohd Nasurruddin Daud dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Sanusi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berhubung isu bayaran caj air mentah kepada Kedah yang berlarutan sejak 2010.

Chow sebelum ini dilaporkan berkata, jika kerajaan Kedah serius terhadap tuntutan tersebut mereka seharusnya memulakan tuntutan melalui mahkamah supaya perkara itu dapat diputuskan mengikut undang-undang.

"Saya telah memberikan pendirian banyak kali atas isu yang sama dan selalunya saya minta (kerajaan) negeri Kedah sekiranya serius sepatutnya mulakan tuntutan melalui mahkamah supaya mahkamah dapat memutuskan perkara ini.

"Sebab memang jelas dari segi undang-undang perkara ini, kita mengambil air dari sempadan kita," katanya dipetik Harian Metro pada Selasa lalu.

Menurut Sanusi, melalui proses mahkamah yang dimulakan itu, Kedah akan membuat tuntutan berjumlah RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang.

“Kita akan tuntut RM50 juta setahun,” katanya.

Lalui proses tertentu

Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh empat negeri PN bercadang untuk memberi tumpuan kepada perlombongan dan pemprosesan bahan nadir bumi (REE).

"Harga REE dalam bentuk mentah sangat murah, tetapi apabila dah diproses kepada bentuk yang lebih advance harganya meningkat berlipat kali ganda.

"Lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi elemen tulen, harganya boleh ratusan atau seribu kali ganda. Tentulah kita akan jadikan usaha memproses elemen ini sebagai keutamaan," katanya.

Menurut Samsuri, SG4 juga mengalu-alukan pelabur asing yang terlibat dalam pengeluaran hiliran untuk membina kilang di keempat-empat negeri PN.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Mengenai perkongsian keuntungan antara negeri, Samsuri berkata, akan ada beberapa siri proses dan pertimbangan, termasuk di mana bahan tersebut ditemui.

Menurutnya pengiraan keuntungan yang akan dibahagikan sesama empat negeri dibuat selepas melalui beberapa proses tertentu seperti caj yang berkaitan.

"Proses untuk hasil itu banyak tahapnya. Untuk kita pukul rata bahawa kita dapat RM10 bilion kemudian dibahagikan kepada empat negeri, ia tidak semudah itu.

"Maksud saksama, adil ialah dengan mengambil kira dari segi tempat bahan itu diperolehi, dan keutamaan buat negeri adalah berbeza-beza (mengikut keadaan semasa)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS