Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Berapa kerusi Umno di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis?'
Diterbitkan:  Sep 2, 2024 3:12 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi yang berkata PAS bermimpi di siang hari dan tidak akan mampu memenangi walau satu kerusi pun pada pilihan raya negeri Sabah akan datang.

Dalam satu hantaran di Facebook, dia sebaliknya menyoal Puad mengenai jumlah kerusi-kerusi yang dimenangi di Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Berapa kerusi Umno ada di Kelantan, sekadar cukup untuk batu nisan kan? 

“Di Selangor dan Pulau Pinang, berapa kerusi Umno ada dalam kerajaan? Di semua negeri itu terutama di negeri yang Umno tidak langsung kerusi, adakah Umno sedang mengigau?” soalnya.

Puad dalam satu hantaran, pagi tadi menyelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang berkata, parti itu mesti memperkasakan kedudukan di Sabah dan bagi melaksanakan perkara itu, mereka  mesti menang di negeri berkenaan.

Mengulas kenyataan Hadi itu, Puad mendakwa PAS sedang bermimpi di siang hari dan menasihatkan Hadi supaya “memerdekakan rakyat daripada penjajahan politik agama yang menyesatkan” parti itu.

“PAS sukar menang walaupun satu kerusi di Sabah. Lagi pun apa sebenarnya yang PAS mau merdekakan?” soalnya.

Ketika ini, PAS mempunyai seorang Adun dilantik, iaitu Aliakbar Gulasan yang dilantik ketika PN masih sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN16 pada September 2020.

PAS pernah meletak calon di beberapa kerusi pada beberapa pilihan raya sebelum ini, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Spekulasi mengenai pilihan raya negeri awal bermula tahun lalu tetapi kini ia mungkin diadakan pada 2025.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu pada 2023 dan Perlis pada 2022 yang lalu, Umno / BN gagal memenangi sebarang kerusi.

Bagaimanapun pada pilihan raya kecil DUN Nenggiri pada 17 Ogos lalu, Umno berjaya merampas kerusi berkenaan.

Di Pulau Pinang dan Selangor, Umno hanya memenangi dua kerusi di setiap negeri berkenaan pada PRN 2023.

Malah di Perak dan Pahang (2022) pula, Umno/BN terpaksa menumpang kerusi Pakatan Harapan agar dapat berkuasa di negeri-negeri berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS