Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, tidak ada pihak lain yang boleh membuat keputusan bagi pihak parti itu dalam percaturan mereka di Sabah.

Bercakap kepada media di Bangi, Selangor hari ini Abdul Hadi menegaskan keputusan sama ada PN akan menyertai pilihan raya negeri (PRN) di Sabah tidak lama lagi atau sebaliknya akan dibuat nanti.

Ketika ini, kata ahli parlimen Marang itu lagi, PN sedang mengadakan perbincangan semasa sendiri sama ada perlu menyertai PRN berkenaan atau tidak.

"Bergantung kepada kita (PN) untuk buat keputusan, bukan mereka," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah penasihat empat negeri PN, Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum itu Abdul Hadi ditanya pandangannya mengenai desakan Parti Maju Sabah (SAPP) agar tiada mana-mana parti dari PN menyertai persaingan dalam PRN akan datang.

Gesaan SAPP itu dibuat sendiri oleh pemimpinnya Yong Teck Lee yang juga bekas ketua menteri Sabah.

Untuk rekod, SAPP merupakan salah satu parti komponen PN pada Ogos 2020 sebelum meninggalkan gabungan tersebut kira-kira 18 bulan kemudian.

SAPP kini menjadi sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GPS) yang mentadbir negeri terbabit.

Sementara itu, ditanya sama ada PN sudah memutuskan untuk menyertai PRN Sabah dan bagaimana pengagihan kerusi, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dalam kalangan parti.

Mengenai sama ada PAS akan bekerjasama dengan gabungan GRS pada pilihan raya negeri, bekas duta khas itu berkata, PN akan meneliti perkara tersebut.

“Kita akan lihat pilihan mana yang lebih baik,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini menegaskan kepentingan PAS bertapak di Sabah dalam usaha mereka untuk memenangi pilihan raya lalu mentadbir Malaysia, sekali gus "memerdekakan" negara.

Pemimpin PAS itu dilaporkan berkata dia melihat PAS mempunyai masa depan yang cerah di Sabah kerana ramai golongan muda yang menghadiri konvensyen parti berkenaan di Kota Kinabalu semalam.

"PAS mesti memperkasakan kedudukan di Sabah. Bagi melaksanakan perkara ini maka kita mesti menang di Sabah atau ada kerusi yang kita menangi.

"Sama ada kerusi kita atau kita ajak kawan-kawan parti lain yang bergabung bersama-sama dengan kita untuk menubuhkan kerajaan demi memerdekakan negara kita sepenuhnya tanpa bergantung dengan makhluk asing," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS