Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Negeri PN bentuk syarikat SG4 Group untuk kongsi kekayaan bersama

Empat negeri dikuasai PN mengambil langkah bersama untuk berkongsi kekayaan secara bersama dengan membentuk syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group), kata Dr Mahathir Mohamad.

Dia yang menjadi Ketua Panel Penasihat SG4 - melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis - berkata setiap satu negeri akan memiliki kepentingan yang sama dalam syarikat tersebut.

“Syarikat itu dimilik 25 peratus oleh setiap negeri supaya negeri yang ketinggalan jauh pun, macam Perlis, boleh dapat hasil. Syarikat dah ditubuhkan dan sudah mulakan kerjasama.

“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi (REE) ini satu punca kekayaan.

"Jadi REE ini bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain.

"Justeru dalam satu syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama,” katanya pada sidang media Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, hari ini.

Hadir sama Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga penasihat S4G dan Ketua Whip ahli parlimen pembangkang Takiyuddin Hassan merangkap setiausaha eksekutif S4G, serta semua empat menteri besar.

Mahathir berkata, syarikat yang ditubuhkan itu hanya memberi tumpuan untuk pembangunan empat negeri berkenaan, bukannya membawa haluan lain daripada kerajaan persekutuan.

“Kita bukan nak ubah ke jalan lain, kita nak tumpu kepada pembangunan empat negeri ini yang tidak dapat kekayaan yang sama berbanding negeri-negeri lain.

“Kita juga nak majukan empat negeri ini supaya kita juga dapat nikmat daripada kekayaan negara.

“Kita boleh cuba urus FDI (pelaburan langsung asing) dan kalau perlu dapatkan maklumat dan contoh dari negara-negara yang mempunyai model yang baik,” katanya.

Sementara itu Takiyuddin menjelaskan syarikat S4G Group memberi tumpuan kepada lima kluster yang mahu diterokai.

Katanya ia membabitkan kluster infastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan; dan sumber pendapatan baru.

“Setiap kluster dipengerusikan oleh exco kerajaan dari sebuah negeri dan dianggotai exco-exco negeri lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS