Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya sudah cakap supaya PN tidak bertanding di Sabah - SAPP
Diterbitkan:  Sep 2, 2024 10:24 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Bekas ketua menteri Yong Teck Lee menggesa Perikatan Nasional (PN) supaya  tidak perlu bertanding pada pilihan raya negeri Sabah akan datang.

Yong, yang adalah presiden Parti Maju Sabah (SAPP) iaitu sekutu PN serta juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata ini selaras dengan pendirian partinya yang mahu parti dari Semenanjung tidak bertanding pada pilihan raya negeri di Sabah.

"Kita masih 'member' (ahli) PN dan saya sudah cakap supaya PN tidak bertanding di Sabah pada pilihan raya negeri.

"Jadi, rakyat yang akan putuskan siapa mereka pilih. Kita konsisten bahawa parti Semenanjung tidak patut bertanding di Sabah untuk PRN.

"Namun, undang-undang tidak melarang, jadi tidak perlu marah-marah kerana itu hanya pendirian kita," katanya kepada media  selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP 2024, di Kota Kinabalu, semalam.

Sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya berkata parti itu perlu bertanding dan memenangi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Hadi berkata dia melihat masa depan PAS di negeri itu cerah kerana ramai yang hadir pada muktamar parti itu di Kota Kinabalu hujung minggu lalu adalah golongan muda.

Kenyataan Yong mengenai perkara itu sebelum ini dikecam parti lawan yang tidak bersetuju dengan larangan parti dari Semenanjung bertanding di Sabah.

Bagi SAPP, kehadiran parti dari Semenanjung sebagai satu bentuk campur tangan kepada urusan negeri walaupun ia digerakkan pemimpin tempatan Sabah sendiri.

Yong juga menegaskan pendirian SAPP mengenai perkara itu tidak berubah walaupun GRS membuat keputusan bekerjasama dengan parti dari Semenanjung pada PRN17.

"Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 kita sudah umum bahawa SAPP akan bertanding guna lambang GRS, bukan PN.

"Kali inipun (PRN17) kita sudah maklumkan akan bertanding di bawah GRS, menggunakan lambang GRS," katanya lagi.

Ketika ini, PAS mempunyai seorang Adun dilantik, iaitu Aliakbar Gulasan yang dilantik ketika PN masih sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN16 pada September 2020.

PAS pernah meletak calon di beberapa kerusi pada beberapa pilihan raya sebelum ini, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

PAS mempunyai ADUN tunggal, Aliakbar Gulasan, yang dilantik ketika PN masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri September 2020.

Keadaan di negeri itu berubah selepas Ketua Menteri Hajiji Noor dan penyokongnya meninggalkan Bersatu untuk menjadi ahli langsung GRS pada Disember 2022.

Spekulasi mengenai pilihan raya negeri awal bermula tahun lalu tetapi kini ia mungkin diadakan pada 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS