Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad sindir Hadi, satu kerusi pun tak menang tapi nak tawan Sabah
Diterbitkan:  Sep 2, 2024 9:48 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi percaya PAS tidak akan mampu memenangi walau satu kerusi pun di Sabah apatah lagi menawan negeri itu.

Mengulas amanat Merdeka Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dia menyifatkan seruan itu tidak lebih daripada "bermimpi di siang hari".

Puad sebaliknya menggesa PAS untuk “memerdekakan rakyat daripada penjajahan politik agama yang menyesatkan” parti itu.

“PAS sukar menang walaupun satu kerusi di Sabah. Lagi pun apa sebenarnya yang PAS mau merdekakan?

“PAS sendiri tidak mampu memerdekakan partinya dari amalan politik toksik, politik melabel lawan dengan gelaran dajal, anti Islam dan sebagainya”  katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pemimpin Umno itu seterusnya menyelar PAS sebagai penjajah pemikiran politik agama yang memundurkan. 

“Terlalu lama penjajahan ini berlaku. Seolah-olah PAS itu Islam dan Islam itu PAS. 

“Rakyat perlu dimerdekakan daripada penjajahan politik agama yang menyesatkan ini,” katanya.

Semalam, Hadi dalam hantaran di Facebook,berkata, PAS mesti memperkasakan kedudukan di Sabah dan bagi melaksanakan perkara itu, parti berkenaan mesti menang di negeri berkenaan.

Katanya, sama ada kerusi itu dimenangi oleh PAS atau parti itu akan mengajak kawan-kawan parti lain yang bergabung bersama-sama untuk menubuhkan kerajaan demi memerdekakan negara sepenuhnya tanpa “bergantung dengan makhluk asing”.

Tambahnya, pilihan raya umum lalu menunjukkan ramai ahli Umno dan anak muda mengundi parti Islam itu sehingga mereka mampu mentadbir di empat negeri.

Ketika ini, PAS mempunyai seorang Adun dilantik, iaitu Aliakbar Gulasan yang dilantik ketika PN masih sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN16 pada September 2020.

PAS pernah meletak calon di beberapa kerusi pada beberapa pilihan raya sebelum ini, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Spekulasi mengenai pilihan raya negeri awal bermula tahun lalu tetapi kini ia mungkin diadakan pada 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS