Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dulu 95 peratus, tapi sokongan Cina kepada DAP sudah turun, kata Gerakan
Diterbitkan:  Sep 2, 2024 9:09 AM
Dikemaskini: 1:09 AM

Presiden Gerakan, Dominic Lau percaya sokongan masyarakat Cina kepada DAP hari ini sudah menurun berbanding sebelum ini. 

Menjawap soalan “mampukah Gerakan lawan DAP”, Lau berkata sokongan rakyat kepada parti itu dijangka bertambah baik dan mereka tidak akan berputus asa.

“Sekarang saya mengakui DAP kuat, sudah mendapat sampai 95 peratus sokongan orang Cina tetapi saya nampak sekarang, sudah jatuh.

“Jadi, saya nampak sokongan kepada dia sekarang sudah turun, sokongan kita akan naik. 

“Kita tidak putus asa, kita akan terus berpegang kepada ideologi kita, prinsip kita dan kita akan terus lawan.

“Kita percaya usaha kita memperjuangkan hak-hak rakyat ini, kita boleh mendapat mandat daripada rakyat dan memberikan sokongan kepada PN,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia ketika diwawancara, baru-baru ini.

Menurut Lau, sokongan daripada pengundi terhadap PN dan Gerakan bertambah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Johor, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan PRN 2023. 

Mengulas lanjut, Lau berkata dalam politik ini, tiada apa yang kekal.

“Jangan lupa, DAP dulu semasa kita kuat di bawah Barisan Nasional, DAP pun kosong, tidak ada kerusi. “Kalau tambah pun berapa kerusi sahaja tapi mereka kembali kuat tapi nampak sudah turun sekarang. Jadi, dalam politik ini, tiada apa yang kekal,” katanya.

Dia juga mengingatkan bahawa DAP sekarang, sudah menjadi kerajaan Pulau Pinang selama 15 tahun dan banyak janji-janji yang ditaburkan gagal ditunaikan. 

“Mereka pun sama dengan Gerakan dulu yang kata kita pun tidak mampu nak buat. Contohnya soal iktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC), banyak cakap tapi sampai sekarang pun tidak iktiraf,” katanya.

Gerakan mencatatkan prestasi buruk semasa PRU15 dan PRN lalu. Ia hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu di Kulim, Kedah.

Mengenai soalan tentang kekuatan Gerakan dalam Perikatan Nasional, (PN), Lau mengakui, partinya memang lemah dan mesti berusaha untuk mendapatkan lebih banyak mandat daripada rakyat.

“Saya nampak ada penambahbaikan semasa PRN dan PRU15 lalu, kita boleh nampak sokongan rakyat kepada parti Gerakan semakin bertambah walaupun tidak memuaskan tetapi kita nampak tanda-tanda sudah bertambah.“Kita tidak boleh anggap yang kita masuk PN, kita boleh menang besar, tidak. 

“Kita kena cuba cari apakah kelemahan kita, memperkuatkan diri kita, jika kita nampak kekuatan kita, kita nak kekalkan dan tambah baik. Kita tidak boleh berhenti. Kita mesti perlu terus melakukan penambahbaikan,” katanya lagi.

Lau juga meluahkan keyakinannya bahawa PN di bawah pimpinan pengerusinya, Muhyiddin Yassin, akan berjaya membawa negara ke hadapan.

“Membentuk kerajaan adalah penting, tapi membawa negara ke hadapan juga adalah penting dan untuk berbuat demikian, kita perlu orang-orang yang bagus, mereka yang benar-benar bersih dan ada integriti. Saya percaya di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita akan berjaya.

“Saya tidak pernah ragu-ragu dengan kepimpinan beliau dan kita akan terus menyokong beliau sepenuhnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS