Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lubang benam: Polis akan buat rondaan berkala di lokasi
Diterbitkan:  Sep 1, 2024 8:53 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Polis akan terus melaksanakan pemantauan dan rondaan secara berkala di lokasi kejadian insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di Kuala Lumpur selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan dan memasuki fasa ‘search and recovery’, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata ia bagi memastikan keselamatan orang awam di sekitar kawasan berkenaan terjaga.

“Hal baik pulih saya rasa biar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan kenyataan manakala pihak polis pula lebih kepada keselamatan orang ramai dan pemantauan serta rondaan secara berkala,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang mengulas hasil perbincangan diadakan dengan DBKL hari ini turut menasihati orang ramai supaya tidak terlalu menghampiri lokasi kejadian.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan SAR dihentikan selepas sembilan hari dimulakan, sejak hari pertama seorang wanita warga India G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus itu, 23 Ogos lepas.

Dr Zaliha dilapor berkata operasi itu kini memasuki fasa 'search and recovery’ (mencari dan pemulihan) selepas mengambil kira pandangan pakar dan keputusan Kabinet.

Operasi SAR melibatkan lokasi utama sekitar Jalan Masjid India dan loji kumbahan di Pantai Dalam membabitkan 194 individu termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, DBKL, Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS