Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Mahkota: DAP mula gerak kerja awal bantu calon BN
Diterbitkan:  Sep 1, 2024 4:24 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

DAP sudah memulakan gerak kerja bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept ini.

Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata gerak kerja awal itu telah dimulakan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dengan dibantu ahli DAP kawasan berkenaan dan jentera dari seluruh negara.

“DAP akan sepenuhnya membantu kempen calon daripada Umno memenangi kerusi itu. Kita akan lakukan yang terbaik kerana kita adalah rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Itu juga merupakan arahan daripada Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) sendiri.

“Ahli kita ada ratusan ribu di seluruh negara. Kita galakkan mereka yang lapang dan berkemampuan untuk turun membantu kempen ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Jom Tonton Wayang ‘Takluk: Lahad Datu’ bersama warga di sebuah pusat beli-belah di Kulai hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS