Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan Akademik UIAM ingatkan ahli tak kupas isu di luar kepakaran
Diterbitkan:  Sep 1, 2024 3:33 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Persatuan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan ahlinya agar bercakap dalam bidang kepakaran masing-masing, terutamanya dalam perbahasan awam bagi menjaga integriti universiti itu.

Dalam satu kenyataan media yang disiarkan di Facebook, persatuan itu mengingatkan bahawa sebagai ahli akademik profesional, komitmen mereka dalam menyebarkan pengetahuan dan menggalakkan perbincangan termaklum adalah melangkaui pagar universiti.

"Baru-baru ini, kita melihat kejadian di mana individu-individu tertentu bercakap di luar bidang mereka dalam perbincangan awam, yang boleh menjejaskan integriti diskusi akademik dan kepercayaan awam terhadap institusi kita," katanya.

Kenyataan itu tidak menyebut mana-mana individu.

Bagaimanapun, ia dikeluarkan selepas klip video seorang individu yang dipercayai merupakan profesor universiti itu berucap dalam sebuah acara tular.

Dalam klip video itu, Prof Solehah Yaacob berkongsi pandangan yang mengatakan isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid kemungkinan berasal dari alam Melayu.

"Saya apabila melihat VTT (video TikTok), banyak juga saya tengok, mereka mengatakan Khadijah itu dari alam Melayu.

"Saya rasa tersentak dengan pandangan itu. Sebab dalam pencarian saya penulis-penulis Arab tidak menulis dengan details (terperinci) siapa Khadijah itu.

"Tiba-tiba kita dapat dari alam Melayu, Khadijah daripada sini. Dan kita kena maklum, beliau merupakan wanita kaya dan mempunyai perniagaan yang besar.

"Untuk mempunyai perniagaan yang besar pada ketika itu anda mesti memiliki emas. Tidak ada forex ke, bitcoin ke masa tu. Dia kena ada suatu yang diminati oleh semua orang di atas dunia ini iaitu emas.

"Dan emas tidak ada di bumi Arab. Emas ada di mana tuan-tuan dan puan-puan? Di tempat kita. Kita ini bumi emas," katanya.

Bagaimanapun menyedari klip video tersebut mula tular sejak pagi tadi, Solehah dalam kenyataan di Facebook mendakwa dia tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari Tanah Melayu.

Jelasnya, tajuk video 'Khadijah al-Khuwailid adalah dari alam Melayu' hanya dibuat oleh individu yang memotong sebahagian daripada video ceramahnya.

"Saya cuma membuka persoalan minta para pendengar berfikir, sebelum ini pun dah banyak perkara yang saya lontarkan dipandang hina oleh sebahagian netizen," katanya.

"Bagi mereka yang kurang menelaah atau tidak pernah tahu beberapa catatan klasik mengaitkan peranan orang Melayu yang cukup besar di bumi arab, nasihat saya kita jangan cepat melatah terhadap maklumat yang pelik di telinga kita, kemungkinan kita pun kurang mengkaji dan menelaah," tambahnya.

Sementara itu, Persatuan Akademik UIA, mengingatkan ahlinya agar menghormati disiplin dan bidang masing-masing yang dibina dengan asas yang kukuh berdasarkan kajian.

"Penting untuk kita menghormati batas kepakaran kita dan kepakaran ahli akademik yang lain. Bercakap tentang isu di luar kepakaran kita boleh membawa kepada salah maklumat dan kekeliruan," katanya.

Selain itu, persatuan itu berkata meskipun dialog antara disiplin digalakkan, penting untuk memahami bahawa isu kompleks memerlukan dapatan daripada pelbagai bidang, justeru kolobrasi seumpamanya perlu berdasarkan hormat terhadap bidang pengetahuan masing-masing.

Tambahnya, ahli akademik juga bertanggungjawab menyampaikan maklumat dengan tepat.

Katanya, bercakap di luar bidang berisiko menjejaskan kredibiliti sendiri dan kredibiliti institusi mereka.

"Menjaga standard akademik memerlukan komitmen terhadap kesimpulan berasaskan bukti. Sebelum menegaskan pendapat atau membuat dakwaan dalam bidang yang kita tidak biasa, kita mesti berusaha untuk menyiasat kajian dan mengesahkan fakta. Ini penting untuk mengekalkan integriti perbincangan kita.

"Kita mesti mencontohi pemikiran kritis dengan mengakui had pengetahuan kita. Amalan ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti kami tetapi juga menggalakkan khalayak kita untuk merenung dengan teliti tentang topik yang rumit," kata persatuan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS