Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid alu-alukan siasatan dari laporan polis Pemuda Bersatu

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata dia mengalu-alukan siasatan hasil laporan polis Pemuda Bersatu kerana didakwa memperdaya dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Pengerusi BN itu mengulangi dakwaannya bahawa 10 akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen BN yang memberikan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin adalah tidak sah.

"Saya harap pihak-pihak yang berwajib sama ada pihak polis ataupun pihak pendaftar pertubuhan ataupun AG (peguam negara) sendiri boleh melakukan siasatan terhadap perkara itu," katanya pada sidang media selepas satu majlis di Pusat Dangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Zahid, semua calon BN perlu menandatangani tiga dokumen yang mengakui mana-mana kerusi yang dimenangi adalah milik parti dan bukan individu, serta menyerahkan kuasa membentuk kerajaan kepada pengerusi gabungan.

Tambahnya, terdapat bukti rakaman video calon BN menandatangani dokumen tersebut.

Pada Jumaat (30 Ogos), pengerusi tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir membuat laporan polis terhadap Zahid, dengan mengatakan bahawa penipuan yang dilakukannya terhadap Agong terdahulu adalah satu kesalahan jenayah yang serius.

Persoalan mengenai sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 sekali lagi dibangkitkan selepas ucapan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya kecil Nenggiri.

Pada 21 Ogos, Muhyiddin menyerahkan kepada polis 115 SD, termasuk SD miliknya, menyokongnya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022, yang mengakibatkan parlimen tergantung.

Media kemudiannya diberikan salinan SD Muhyiddin kepada istana bertarikh 21 Nov 2022, di mana dia menyebut bahawa dia telah melampirkan 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (satu), serta SD daripada 10 Ahli Parlimen BN dan dua Ahli Parlimen bebas.

SD dan surat berkenaan adalah antara dokumen yang diberikan Muhyiddin kepada polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan dia telah menghina bekas Agong dengan membangkitkan bagaimana dia tidak dijemput untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun mendapat sokongan 115 ahli Parlimen.

Bagaimanapun, keesokan harinya (22 Ogos), Zahid menyangkal dakwaan itu dengan berkata Muhyiddin hanya mempunyai 105 akuan berkanun, yang tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS