Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemerdagangan orang: Saifuddin beri kepercayaan penuh siasatan polis
Diterbitkan:  Aug 31, 2024 9:16 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menyatakan keyakinan penuh berhubung siasatan polis terhadap seorang bekas timbalan menteri dan individu lain yang didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa.

Bernama memetik Saifuddin sebagai berkata, polis telah membuka kertas siasatan terhadap ahli politik berkenaan susulan laporan media asing bulan lepas.

“Polis sudah membuka kertas siasatan dan saya letak sepenuh kepercayaan terhadap profesionalisme polis apabila mereka sudah buka fail tentang perkara itu," katanya kepada pemberita di Kuala Nerus hari ini.

Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelak sebarang spekulasi.

Khamis lalu, sebuah NGO di Myanmar yang mendedahkan dakwaan sindiket pemerdagangan manusia itu menyambut baik laporan awal yang memetik Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan bahawa siasatan telah dimulakan sejak Julai.

Jurucakap Justice For Myanmar, Yadanar Maung dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini berkata, selain Mashitah Ibrahim - yang telah menafikan dakwaan itu - rakyat Malaysia lain juga didakwa terbabit dalam kes berkenaan.

Mashitah telah membuat laporan polis dan menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai "tidak berasas".

Selain siasatan polis, kumpulan hak asasi manusia, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu itu minggu lepas.

Ia susulan klip dari dokumentari YouTube Indonesia bertajuk "Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia".

Dokumentari berdasarkan siasatan rentas sempadan itu antara lain menunjukkan gambar Mashitah bersama sekumpulan individu yang didakwa ada kaitan dengan sindiket itu.

Dokumentari itu disiarkan sebulan lalu dan mendapat hampir 90,000 tontonan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS