Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lubang benam: Henti sebar berita palsu KL tidak selamat - Saifuddin
Diterbitkan:  Aug 31, 2024 6:57 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta masyarakat agar segera menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung dakwaan kononnya Kuala Lumpur tidak selamat untuk didiami atau dikunjungi.

Beliau berkata tindakan menyebarkan maklumat seperti itu tanpa memetik sumber berkredibiliti adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Telah sampai ke pengetahuan kita tentang segelintir warganet yang tatkala negara memberi tumpuan kepada insiden tanah jerlus yang memakan korban, ketika itulah juga disebarkan berita palsu secara tidak bertanggungjawab.

“Tindakan itu hanya menimbulkan keadaan cemas yang tidak sepatutnya berlaku. Saya minta untuk segera dihentikan dan kalau mereka ini dikesan, polis akan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang kerana menyebarkan berita palsu yang menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam masyarakat,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Balai Raya Pulau Redang di Kuala Nerus hari ini.

Dakwaan kononnya ibu kota tidak selamat didiami atau dikunjungi timbul susulan insiden tanah jerlus di Masjid India yang menyebabkan seorang pelancong G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter ketika melalui kawasan itu pada 23 Ogos.

Beliau turut meminta agar pihak berkuasa diberi ruang untuk menjalankan usaha menyelamat.

"Keluarga mangsa masih menunggu dan berharap manakala pihak berkuasa juga telah berkali-kali memberi jaminan bahawa keutamaan kita adalah keselamatan termasuk di kawasan sekitarnya.

“Biar pihak berkuasa jalankan tugas tanpa komen yang tidak mempunyai autoriti,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dihentikan hari ini dengan usaha kini beralih ke fasa 'search and recovery.'

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat dikunjungi meskipun berlaku beberapa insiden mendapan tanah sejak kebelakangan ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS