Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan Ulama Malaysia gesa rakyat terus boikot syarikat berkaitan Israel
Diterbitkan:  Aug 31, 2024 5:26 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk terus memboikot syarikat yang dikaitkan menyokong Israel.

Presiden PUM, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata boikot lebih daripada sekadar langkah ekonomi kerana ia mewakili pendirian moral menentang penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin dan bertujuan menyampaikan mesej jelas ke seluruh dunia.

“PUM menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat global untuk terus menyokong boikot sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk menamatkan penderitaan di Gaza dan untuk mendesak keamanan yang berkekalan.

“Tanpa usaha-usaha ini, penderitaan yang dihadapi penduduk Gaza berkemungkinan besar menjadi lebih buruk, menjadikan penting untuk kita berpegang teguh kepada tekad kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Gesaan itu dikeluarkan sebagai respons kepada Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan yang dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini mempersoalkan keberkesanan boikot terhadap syarikat yang dikaitkan dengan Israel, khususnya berhubung kesannya ke atas Gaza.

Menurut Wan Mohamad, keadaan di Gaza mungkin menjadi lebih buruk tanpa gerakan boikot, kerana ia menjadi mekanisme penting untuk mengehadkan sumber yang ada kepada mereka yang menguatkuasakan sekatan.

“Kenyataan yang dibuat oleh Duta AS itu bukan sahaja tersasar tetapi juga mencerminkan kurangnya pemahaman tentang implikasi etika dan moral yang mendalam daripada boikot itu.

“Pendirian sedemikian menjejaskan usaha global untuk membawa keadilan kepada rakyat Palestin dan memandang remeh penderitaan yang mereka alami setiap hari,” katanya.

Kagan, yang menegaskan bahawa kerajaan AS menghormati hak melakukan protes aman, berkata gerakan boikot dilihat sebagai tindakan simbolik yang lebih membawa kesan negatif kepada mereka yang bekerja di syarikat-syarikat tersebut.

Sebagai respons, BDS Malaysia hari ini menyangkal kenyataan Kagan dan menyatakan bahawa tindakan menggambarkan pendudukan di Palestin oleh Israel sebagai konflik antara dua pihak, dengan Amerika Syarikat berperanan sebagai perantara yang adil untuk mencapai perdamaian, tidak mencerminkan realiti sebenar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS