Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Luar biasa - reaksi menteri sambutan Hari Kebangsaan
Diterbitkan:  Aug 31, 2024 1:17 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Barisan menteri kabinet menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Putrajaya hari ini adalah luar biasa dan berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau budaya.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kehadiran rakyat Malaysia yang sangat ramai membuktikan sambutan berkenaan meriah serta menonjolkan semangat kebersamaan.

Beliau berkata seluruh peringkat masyarakat dilihat bersama Kerajaan Perpaduan dan ia satu perkara yang baik dalam memacu negara ke tahap lebih tinggi.

“Kehadiran yang sangat baik hari, semangat kemerdekaan itu sangat penting untuk kita bawa negara ke depan,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-67 kali ini sangat membanggakan dengan kehadiran yang luar biasa.

“Kita mahukan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada ketika ini mengizinkan kerajaan untuk pacu pembangunan negara,” katanya.

Bagi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, pelbagai persembahan menarik ditonjolkan dalam sambutan kali ini membuktikan rakyat kreatif dalam menzahirkan semangat patriotisme.

“Alhamdulilah ia satu sambutan yang cukup meriah dan seawal tengah malam, ada ramai rakyat berkhemah untuk lihat persembahan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau teruja melihat kebersamaan rakyat Malaysia dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

“Nampak sambutan sangat baik, tahniah kepada Menteri Fahmi Fadzil atas penganjuran sambutan kali ini. Selamat Hari Kemerdekaan,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema Malaysia Madani: Jiwa Merdeka di Dataran Putrajaya berjalan lancar dengan kehadiran lebih 100,000 orang pengunjung.

Memasuki edisi keenam penganjurannya di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dianjurkan buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.

- Bernama

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sambutan Hari Kebangsaan 2024 berjalan lancar dengan lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata persembahan teres grafik manusia oleh 2,000 pelajar sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Selangor menjadi tarikan utama sambutan itu.

Fahmi berkata persembahan berkenaan mendapat pujian barisan Jemaah Menteri dan pengunjung yang hadir.

“Mereka amat bertenaga dan ini mengingatkan kita tentang rasa cinta kepada negara. Saya rasa saya mesti tabik hormat kepada mereka dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pun berjumpa dengan mereka dan mengucapkan terima kasih,” katanya kepada pemberita selepas acara sambutan itu.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan Hari Kebangsaan 2024 disemarakkan dengan perbarisan dan perarakan dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS