Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tol percuma di Seksyen 1 WCE selama sebulan
Diterbitkan:  Aug 30, 2024 3:15 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Pengguna Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang melalui Plaza Tol Persimpangan Bertingkat Banting tidak perlu membayar tol selama sebulan bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian bayaran tol itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 selain menyambut setahun pelaksanaan inisiatif MyJalan oleh kerajaan.

"Saya juga ingin jelaskan pemberian tol percuma ini hanya untuk Lebuhraya WCE Seksyen 1 (Tol Persimpangan Bertingkat Banting) sahaja dan tidak melibatkan tol lain yang bersambung dengan lebuh raya ini.

“... pelaksanaan tol percuma ini berlangsung hingga 29 Sept, 11.59 malam," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 1 di Banting hari ini.

Dalam pada itu, Nanta berkata pembukaan lebuh raya sepanjang 12.5km itu - yang menghubungkan Jalan Dengkil - Banting ke Lebuhraya SKVE - mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta kemajuan untuk kawasan selatan Selangor khususnya Kuala Langat.

Dia berkata lebuh raya yang bersambung dengan Lebuhraya SKVE itu juga memberikan kemudahan kepada penduduk di sekitar Banting untuk ke bandar-bandar utama di Selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan Kajang sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan berkenaan.

"Pelbagai projek pembangunan ketika ini sedang giat dilaksanakan di sekitar jajaran Seksyen 1 Lebuhraya WCE yang menawarkan pembangunan terancang, bersepadu merangkumi kawasan IKS (industri kecil dan sederhana) dan hab industri serta logistik bertaraf dunia.

"Di samping itu, ia dapat menambah baik jaringan logistik terutamanya pergerakan pengangkutan haulier yang membawa barangan dari pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya.

Nanta berharap baki empat lagi seksyen lebuh raya berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan selain menjangkakan seksyen 2 bagi lebuh raya itu akan siap pada Dis depan.

"Kementerian juga difahamkan oleh pihak konsesi bahawa jangkaan awal lebuh raya ini akan menerima lebih kurang 10,000 kenderaan sehari," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS