Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lubang benam: SAR secara penyelaman terlalu berisiko
Diterbitkan:  Aug 30, 2024 2:49 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merumuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lubang benam dengan kaedah penyelaman adalah terlalu berisiko.

Ketua Pengarah Datuk Nor Hisham Mohammad berkata perkara itu dirumuskan selepas selaman oleh dua anggota skuba pada jam 4 pagi tadi tidak berhasil setelah hampir setengah jam mencuba.

Katanya antara faktor risiko yang dikenal pasti ialah aliran air bawah tanah yang deras, ruang sempit untuk pasukan penyelamat, dan sisa-sisa sampah serta longgokan (backlog) keras di kawasan carian.

"Selepas berbincang, secara taktikalnya dan berdasarkan maklum balas daripada dua orang yang masuk dalam (pagi) tadi, saya dapat putuskan ia terlampau berisiko untuk cuba meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa.

"Kita buat beberapa percubaan dari jam 5 petang semalam sehingga jam 1 pagi tadi.

"Beberapa kali kami turun dan pecahkan backlog tetapi didapati memang mustahil, sangat sukar untuk kami pecahkan lemak tepu itu seperti bongkah simen.

"Kami tembak pun tak pergi, kaedah tarik guna tali sehingga lapan orang pun tidak bergerak," katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan JBPM di Putrajaya hari ini.

Menurut Nor Hisham, kaedah penyelaman oleh seorang anggota JBPM dan seorang pekerja kumbahan yang biasa dengan reka bentuk saluran itu dibuat selepas paras air berjaya diturunkan dengan kaedah pengepaman.

"Kami masuk kira-kira 20 minit sejauh 18 meter ke dalam dan didapati apabila sampai situ, tiada ruang untuk orang nak masuk, jadi tak boleh nak pergi, ruang itu sangat sempit, penyelam pun terpaksa meniarap untuk masuk.

"Pada masa sama, berlaku peningkatan air jadi kami bersetuju untuk keluarkan pasukan skuba kerana terlampau berisiko. Itu yang JBPM buat semalam," katanya.

Peluang agak tipis

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata JBPM juga ada menghantar dua unit kamera dalam air di kawasan SAR dan setakat ini antara imej yang dirakam kamera itu termasuk cebisan kain yang tidak dapat dikenal pasti.

"Walaupun kami dapat imej-imej kain tetapi buat masa ini kami tak boleh katakan bahawa itu milik kepada sesiapa sebab dalam itu memang macam-macam, tapi ada imej kain yang dua-dua kamera itu rakam.

"Jadi kami kata itu yang kami dapat tetapi suka saya maklumkan secara nyatanya berdasarkan kamera itu, tidak ada yang menunjukkan imej jasad sebab gelora (turbulence) air bergerak begitu," katanya.

Justeru itu, Nor Hisham berkata JBPM akan mengadakan mesyuarat bersama pihak terlibat dalam operasi SAR itu di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) petang ini.

Katanya mesyuarat itu dibuat untuk menentukan hala tuju operasi termasuk kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan untuk pencarian mangsa dan jalan mana yang akan ditutup secara berterusan.

Ditanya, adakah pasukan penyelamat buntu untuk memikirkan kaedah mencari mangsa, dia berkata, kaedah yang ada terlalu berisiko untuk anggota penyelamat dan perkara itu perlu dipertimbangkan antara risiko dengan kebarangkalian.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata dia kehilangan kata-kata sewaktu meninjau aktiviti SAR pada awal pagi tadi kerana terlalu risau akan keselamatan pasukan penyelam yang perlu meniarap dan merangkak di kawasan sempit berkenaan.

"Kita tengok tempat mereka masuk itu lebih kurang dalam dua kaki, kita cukup risau apabila mereka tersekat, ada 'kesan piston' daripada air membuatkan mereka tak boleh mengundur, jadi sangat bahaya," katanya.

Ditanya, apakah masih ada harapan untuk menemui wanita warga India itu selepas operasi SAR memasuki hari kelapan, Nor Hisham berkata peluang agak tipis.

"Maksudnya kalau dengan kaedah sekarang ini, kita rasakan itu tipislah kecuali kita ada kaedah lain," katanya.

Pada 23 Ogos, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden lubang benam di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, bilasan dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS