Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu SD: Pemuda Bersatu lapor polis, dakwa Zahid tipu Agong
Diterbitkan:  Aug 30, 2024 1:15 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. 

Akmal Zahin merujuk dakwaan Ahmad Zahid bahawa dia mempunyai semua 30 akuan berkanun (SD) ahli parlimen BN yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, sebaik selepas PRU15.

“Ahmad Zahid mengakui telah menghantar surat ke Istana Negara selepas ahli Parlimen mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin dan kekal neutral.

“Jelas Ahmad Zahid menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong ketika itu(Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan ini merupakan satu kesalahan jenayah serius,” katanya yang juga  pengarah Pilihan Raya Pemuda PN kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi

Isu SD kembali diperkatakan selepas Muhyiddin yang juga pengerusi PN membangkitkan perkara itu dalam satu ceramah ketika PRK Nenggiri sebelum ini.

Pada 21 Ogos lalu, Muhyiddin berkata dia telah menyerahkan 115 SD yang menyokongnya kepada polis untuk siasatan.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan daripada setiausaha sulit kepada Al-Sultan Abdullah

SD itu dikatakan dikumpul sejurus selepas PRU15, yang berakhir dengan Parlimen tergantung.

Sehari kemudian, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tampil menjelaskan 10 SD daripada ahli Parlimen BN itu tidak sah.

Mengulas lanjut, Akmal Zahin berkata Bersatu menggesa Zahid disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Kita juga minta polis siasat sebab pada 22 November 2022, Agong menitahkan 30 ahli Parlimen BN menghadap secara individu pada jam 10.30 pagi di Istana Negara. Namun yang berlaku bukan 30 ahli parlimen tetapi tiga sahaja yang datang,” dakwanya.

Justeru, dia berharap polis dapat menyiasat jika terdapat sebarang arahan daripada Ahmad Zahid yang melarang mereka daripada menghadap dan menyatakan pendirian mereka dalam soal pelantikan perdana menteri.

Isu elaun Skuad Sabil

Selain itu, satu lagi laporan polis turut dibuat Pemuda Bersatu berhubung salah guna kuasa Zahid selaku Menteri Kemahuan Desa dan Wilayah ketika mengumumkan pemberian elaun kepada Skuad Sabil.

Setiausaha kerja Pemuda Bersatu Meor Naqiuddin berkata Zahid tidak sepatutnya menggunakan duit rakyat untuk pihak yang melakukan kerja parti politik.

“Kalau begitu, mana-mana badan beruniform sukarela, seperti Unit Amal PAS patut dapat jugalan elaun. Tetapi kerana Zahid menteri yang jaga Angkatan Pertahanan Awam (APM), dia guna kuasa itu untuk beri keuntungan kepada skuad (Sabil) yang di bawah Umno.

“Ini semua duit pembayar cukai. Kita nak tahu apa asas untuk melayakkan Skuad Sabil diberi elaun guna dana kerajaan,” katanya lagi.

Meor juga tidak menolak pihaknya akan turut membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara itu.

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024  Sabtu lalu, Zahid mengumumkan Skuad Sabil akan menjadi sebahagian daripada APM dan diberikan elaun.

Bagaimanapun, pengumuman itu mencetuskan pertikaian dalam kalangan pembangkang yang mempersoalkan bagaimana jentera politik Umno boleh diberikan elaun menggunakan dana kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS