Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua eksekutif PSI dihukum penjara: Keadilan akhirnya ditegakkan - Justo

Selepas lebih sedekad bergelut, pemberi maklumat skandal 1MDB yang sebelum ini pernah dipenjara kini boleh menarik nafas lega apabila mahkamah di Switzerland menyabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua eksekutif Petrosaudi International Limited (PSI).

Menerusi hantaran di LinkedIn lewat malam tadi, Xavier Andre Justo menyambut baik keputusan mahkamah itu ke atas dua bekas rakan sekerjanya, Tarek Obaid dan Patrick Mahony.

“Selepas sedekad berjuang tanpa henti, akhirnya keadilan ditegakkan. Untuk 10 tahun yang panjang, kita berjuang tanpa henti untuk mempertanggungjawabkan penjenayah ini. Jalan yang sukar, dipenuhi begitu banyak halangan, malam tanpa lelap dan rasa sangsi yang menguji tekad kami.

“Namun keyakinan kami tak pernah goyah, yang kebenaran dan keadilan akan menang, tanpa mengira betapa kuatnya pihak yang menentang.

“Ini adalah peringatan yang sangat mengesankan, jika anda teguh dan tahu anda di pihak yang benar, tiada yang dapat menghalang kemajuan anda. Kami berjuang bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk semua pihak yang menjadi mangsa dan untuk mereka yang percaya kepada kuasa keadilan.

“Kemenangan ini menjadi obor harapan, bukti bahawa walaupun berdepan kesukaran, keadilan boleh dan akan ditegakkan,” katanya.

Justo pernah dihukum penjara setahun di Thailand atas dakwaan memeras ugut bekas majikannya, iaitu Petrosaudi International.

Mengulas lanjut, dia berkata pihak yang lemah juga mampu menewaskan pihak yang berkuasa.

“Kepada semua yang menyokong kami, percaya kepada kami, kami mengucapkan terimas kasih. Kemenangan ini untuk kita semua,” kata Justo lagi.

Dua hari lalu, Reuters melaporkan Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland memutuskan Obaid dan Mahony bersalah atas peranannya dalam menyelewengkan dana 1MDB.

Mereka dituduh mencipta tanggapan palsu bahawa kerajaan Arab Saudi menyokong syarikat mereka, dalam usaha meyakinkan lembaga pengarah 1MDB untuk menubuhkan usaha sama dengan syarikat mereka pada 2009.

Mereka kemudiannya meneruskan penipuan 1MDB sebanyak AS$1.8 bilion (RM8 bilion).

Reuters turut memetik pertuduhan terhadap mereka yang menyatakan bahawa Obaid mendapat sekurang-kurangnya AS$805 juta, manakala Mahony mendapat sekurang-kurangnya AS$37 juta.

Laporan itu menyebut Obaid dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, manakala Mahony dijatuhi hukuman penjara enam tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS