Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selaman awal pagi membuahkan kehampaan
Diterbitkan:  Aug 30, 2024 8:32 AM
Dikemaskini: 12:32 AM

Usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencari mangsa lubang benam di Jalan Masjid India dengan melakukan selaman di dalam saluran kumbahan berhampiran lokasi kejadian sekali lagi menemui jalan buntu.

Tinjauan Bernama mendapati dua penyelam skuba dari Akademi JBPM Wilayah Utara mula turun ke lubang saluran itu kira-kira jam 4 pagi untuk ke kawasan yang dipercayai terdapat backlog yang terletak kira-kira 44 meter dari lokasi kejadian.

Selaman dilakukan selepas pasukan SAR menutup sebahagian saluran dan melencongkan aliran masuk dalam usaha mengurangkan paras air daripada 1.5 meter hingga ke 0.8 meter di dalam saluran kumbahan.

Ia merupakan kaedah sama yang digunakan semalam.

Pada jam 11.20 malam tadi, sebuah kren dilihat tiba di lokasi kejadian dan menarik sesuatu dari lubang benam itu serta menurunkan pam berkuasa tinggi 10,000 dan 20,000 liter untuk mengepam keluar air dari saluran kumbahan tersebut.

Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam melakukan selaman, usaha tersebut sekali lagi membuahkan kehampaan.

Anggota pasukan SAR yang sempat ditemui memaklumkan penyelam berdepan cabaran batu dan pasir yang banyak di dalam saluran kumbahan, manakala arus deras pula menyebabkan usaha ke kawasan backlog sukar.

Turut kelihatan di lokasi kejadian bagi meninjau operasi SAR awal pagi ini ialah Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.

Operasi SAR ditangguhkan seketika pada 5 pagi ini dan akan disambung nanti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS