Serpihan sepanjang 15 meter merupakan antara cabaran utama dalam usaha mencari wanita warga India yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Pasukan operasi dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Norhisham Mohammad berkata halangan itu telah dikesan pasukannya kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian lubang benam.
"Kita telah melaksanakan dua ujian yang mana pelepasan tong air dari hari pertama dari lokasi tanah jerlus dan ujian melepaskan botol air pada hari kedua dari Wisma Yakin.
"Hasil pemerhatian kami menerusi kedua-dua ujian itu mendapati setiap lurang kumbahan dan di Loji IWK Pantai Dalam, dua tong air yang dilepaskan dari 'ground zero' (lokasi lubang benam) itu masih tidak keluar.
"Selepas kami membaca jarak gerakan kamera pada jarak 7.6 meter kami percaya terdapat halangan dalam paip pembetungan daripada lurang kumbahan dari Wisma Yakin iaitu di jarak 7.6 meter yang mana dikesan berlaku backlog iaitu halangan disebabkan debris (serpihan) anggaran lebih kurang 15 meter panjang," katanya kepada pemberita di Masjid India, petang tadi.
Katanya, berdasarkan pemerhatian daripada pasukan yang ditugaskan serpihan terbentuk daripada objek termasuk botol, tayar, rambut dan lemak pejal.
Mengulas lanjut, Norhisham berkata bahawa pasukan SAR kini menggunakan pendekatan baru iaitu melencongkan sebahagian aliran air dalam paip pembetungan untuk mengurangkan parasnya.
Tambahnya, mereka turut menggunakan dua pam berkapasiti tinggi dalam usaha menurunkan paras air dalam paip.
"Bermula jam 5 petang tadi memulakan usaha merungkaikan halangan tersebut dan jika ia berjaya, kita boleh melihat seluruh permukaan dan imej sisa-sisa itu dengan jelas dan malam ini kita akan mengulangi kaedah itu
"Kami turut membawa masuk empat penyelam pakar dari Akademi Bomba dan Penyelamat untuk melihat kemungkinan terjun ke dalam pembetung.
"Berdasarkan penilaian mereka, arus terlalu deras selepas Wisma Yakin," katanya.
Pada 23 Ogos lalu seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden lubang benam semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama dan hari ini telah masuk hari yang ketujuh melibatkan anggota dari pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan.