Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Myanmar sambut baik siasatan terhadap jaringan pemerdagangan orang

Sebuah NGO di Myanmar yang terlibat dalam mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia yang didakwa melibatkan bekas timbalan menteri dari Malaysia menyambut baik laporan siasatan oleh pihak berkuasa di negara ini.

Jurucakap Justice For Myanmar, Yudanar Maung dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini berkata, selain bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mashitah Ibrahim, yang telah menafikan dakwaan itu, terdapat juga rakyat Malaysia lain yang didakwa terbabit dalam kes berkenaan.

“Kami mengalu-alukan siasatan berhubung laporan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kepada SPRM.

"Pihak berkuasa Malaysia harus segera menyiasat penglibatan Mashitah Ibrahim dan rakyat Malaysia lain dalam Dongmei cyber scam park, serta Yatai New City dan memastikan pertanggungjawaban sepenuhnya," kata Yudanar.

"Kawasan jenayah rentas negara ini telah meragut nyawa dan membiayai militia tentera Myanmar yang melakukan jenayah antarabangsa tanpa sebarang tindakan," dakwa kumpulan itu.

Terdahulu, Mashitah hari ini berkata dia telah membuat laporan polis berhubung dakwaan "tidak berasas" terhadapnya dan turut mengesahkan disoal siasat oleh Bukit Aman.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan MHO menggesa SPRM menyiasat seorang ahli politik yang didakwa terlibat dalam kumpulan pemerdagangan manusia di Myanmar.

Artikel itu yang tidak menamakan Mashitah, menyebut ahli politik terbabit dan suaminya, seorang bekas penjawat awam, dikatakan terlibat dengan sindiket itu sejak Mac 2020.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim turut mendakwa ahli politik itu dan suaminya mempengerusikan lembaga keselamatan yang terlibat dalam kegiatan jenayah di Myanmar.

Mengulas lanjut, Yudanar berkata, “sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia harus menunjukkan kepada rakyat Myanmar dan rantau ini bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan penglibatan rakyatnya dalam pemerdagangan manusia dan perhambaan siber.”

Gesaan MHO untuk menjalankan siasatan berikutan penyiaran klip daripada dokumentari YouTube Indonesia bertajuk “Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia”, yang memuatkan gambar Mashitah bersama sekumpulan individu yang didakwa ada kaitan dengan sindiket itu.

Dokumentari itu disiarkan sebulan lalu, dan telah mendapat hampir 90,000 tontonan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS