Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar gesa tindakan konkrit lepas PM kata 'Melayu tak boleh terus disuap'
Diterbitkan:  Aug 29, 2024 2:56 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Susulan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mengatakan "orang Melayu tidak boleh terus disuap", seorang aktivis pendidikan berkata tindakan konkrit perlu diambil berbanding retorik semata-mata.

Dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ketika sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam, Anwar berkata universiti itu memainkan peranan penting untuk membantu masyarakat Melayu terus maju.

Anwar juga dipetik sebagai berkata masyarakat Melayu tidak boleh terus disuap sehingga mereka menjadi terlalu bergantung kepada orang lain, manakala peranan UiTM adalah untuk membawa kemajuan pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera sehingga mereka dapat berdikari serta menyumbang kepada ekonomi.

Profesor kajian media dan komunikasi, Zaharom Nain, berkata Anwar perlu melaksanakan kata-katanya jika benar serius untuk melakukan perubahan.

“Ungkapan ‘Melayu tidak boleh terus disuap’ ini seperti rekod rosak.

“Jangan hanya berkata-kata, anda perlu pastikan untuk menghapuskan suapan itu perlahan-lahan.

“Sudah tentu kita perlu bergerak melangkaui hanya bangsa dan etnik dalam memikirkan tentang masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata langkah menghapuskan suapan itu juga bermaksud menghapuskan keangkuhan mereka yang membantah cadangan sebelum ini agar UiTM membuka sementara unit latihan kardiologi kepada doktor bukan Bumiputera.

“Anwar sepatutnya bersuara tegas ketika itu,” kata Zaharom.

Dalam ucapannya semalam, Anwar berkata sejarah UiTM perlu dimaknai dengan kefahaman tentang cabaran dan permasalahan menyelubungi pendidikan orang Melayu.

Menurutnya, kemiskinan bagi orang Melayu bukan hanya dari segi harta dan wang ringgit, malah dari segi ‘pendidikan, hemat dan cita-cita orang Melayu itu sendiri’.

“Kita tidak boleh lari daripada realiti bahawa orang Melayu dan Bumiputera perlu dibantu dengan pendidikannya … kebanyakan (golongan ini) datang daripada golongan masyarakat yang tersusah," katanya.

Adun Tebing Tinggi dari DAP, Abdul Aziz Bari, berkata dia bersetuju dengan kenyataan Anwar bahawa kaum majoriti itu tidak boleh terus disuap tanpa hadnya.

Abdul Aziz berkata semua pihak perlu kembali kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk "menjaga kedudukan istimewa 'Melayu' dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain"

“Pada dasarnya, peruntukan itu bukan masalahnya. Masalahnya adalah tafsiran dan pelaksanaannya, terutama DEB dan pelaksanaan keterlaluan akibat tafsiran Umno terhadap peruntukan tersebut.

“Sekarang, masalahnya adalah dengan PAS dan ahli politik sayap kanan yang lain yang tidak mahu berganjak dari kedudukan ini,” kata Aziz.

Dia berkata Anwar konsisten dalam menyokong agenda baru yang pada dasarnya adalah tafsiran baru terhadap Perkara 153.

Ini termasuk gesaan presiden PKR itu agar dasar tindakan afirmatif diperluaskan daripada berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan, tambahnya.

Aziz dan Zaharom juga menegaskan bahawa ucapan Anwar bukan kebebetulan apabila ia dibuat pada hari yang sama Raduan Che Rose, yang juga pengerusi lembaga pengarah UiTM, didakwa di mahkamah sesyen Shah Alam atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan RM271,000 yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dana penyelidikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS