Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejabat mufti diarah panggil ‘Raja Bomoh’ lepas muncul di Masjid India
Diterbitkan:  Aug 29, 2024 1:48 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum kegelisahan umat Islam terhadap kehadiran Ibrahim Mat Zin, atau lebih dikenali sebagai Raja Bomoh, di lokasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, semalam.

Justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na' im Mokhtar meminta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk segera memanggil Ibrahim.

"(Ini) bagi memberikan nasihat tentang batas-batas akidah dan iman serta tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan kepada agama Islam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Na' im Mokhtar

Semalam, Ibrahim mencuri perhatian ramai ketika muncul di Jalan Masjid India dan menawarkan bantuan untuk mencari pelancong dari India, Vijayaletchumy yang terjatuh sedalam lapan meter dan hilang.

"Saya datang ke sini sebab saya lihat mereka (pasukan penyelamat) sudah berhari-hari menjalankan usaha pencarian, namun masih belum menemui mangsa.

"Justeru, saya mahu membantu pencarian mangsa menggunakan kaedah tertentu sekiranya dibenarkan pihak berkuasa," katanya dipetik media tempatan.

Dia turut dirakam merenjis air pelaga di sekitar lokasi tersebut.

Ibrahim mula dikenali ramai selepas membuat kemunculan pada 2014 dengan melakukan ritual tertentu dalam usahanya mencari dan mengesan misteri kehilangan kapal terbang MH370.

Pernah didakwa

Mohd Na' im juga membangkitkan pengakuan bersalah Ibrahim di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) atas kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina pada 2017.

Ketika itu, katanya, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah memerintahkan Ibrahim untuk menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti ritual yang bertentangan akidah Islam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS